"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Akibat gelojoh: PAS sukar tarik balik keputusan putus dengan DAP, kata Mahfuz

DIYANA IBRAHIM
Bekas ketua penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata parti itu berada dalam keadaan sukar sekiranya mahu membuat pusingan U terhadap keputusannya sebelum ini yang mahu membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP.

Katanya, jika PAS menarik kembali keputusan tersebut, secara tidak langsung ia memberikan persepsi tidak baik kepada penyokong mereka yang akan melihat kepimpinan hanya mengutamakan kedudukan dan jawatan.

"Saya tidak fikir bagaimana Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama boleh berpatah balik setelah mereka menerima usul tersebut dalam Muktamar.

"Kalau berpatah balik, imej PAS pada penyokong akan rosak, seolah-olah mereka akan lihat, apa ini? Sekejap kata nak putus, sekejap tak jadi putus.
"Jadi, persepsi orang akan lihat PAS ini mungkin lebih utamakan kedudukan, jawatan. Itu akan memburukkan sokongan terhadap PAS," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang keputusan memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP masih belum muktamad.

Mahfuz berkata, keputusan itu sebenarnya hanya menunggu untuk dirujukkan kepada Majlis Syura saja kerana sebahagian ahli Dewan Ulama terdiri daripada kepimpinan majlis itu.

Justeru itu, beliau berkata mustahil bagi anggota Dewan Ulama yang terdiri daripada ahli Majlis Syura tidak akan mempertahankan usul tersebut.

"Bagi saya, dengan 9 alasan (tahaluf siyasi) diberikan sudah cukup untuk kerjasama perlu ditamatkan, jadi saya percaya kini Dewan Ulama hanya menunggu merujuk dari sudut syarak.

"Namun saya tidak fikir anggota Dewan Ulama yang duduk dalam Majlis Syura tidak akan mempertahankan," katanya.

Ditanya mengenai tawaran PKR yang ingin menjadi orang tengah menyelesaikan krisis antara DAP dan PAS beliau secara tidak langsung menyifatkan ia juga tidak membawa sebarang perubahan.

"Kedua-dua parti mempunyai pendirian sendiri, saya fikir usaha boleh dilakukan PKR namun tidak mungkin ungkapan pembatalan tahaluf siyasi itu boleh berpatah balik, ia seperti orang bercerai di rumah dan menunggu formaliti untuk disahkan," katanya yang mengakui itu pendapat peribadinya.

Mahfuz turut ditanya, adakah PAS akan mengikut seperti langkah di Pulau Pinang untuk meletakkan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, sekiranya PAS memutuskan hubungan dengan DAP maka parti Islam itu tidak boleh terlibat dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri yang dikuasai parti tersebut, dan menyentuh mengenai kedudukan Selangor ianya terpulang kepada keputusan PKR.

"Kalau di Pulau Pinang itu sudah pasti kerana dominasi kerajaan DAP dan tanpa PAS negeri itu tidak terjejas, malah tanpa PKR juga kerana mereka boleh perintah dalam 'simple majoriti'.

"Namun di Selangor bergantung kepada pendirian PKR. Kalau pendirian PKR mereka hendak bersama dengan PAS, maka usul itu perkukuhkan PR tanpa DAP jadi PKR perlu memilih untuk bersama dengan PAS dan DAP perlu keluar. Kalau PKR pilih DAP, PAS kena berundur.

"Sekiranya PAS tidak ada dalam kepimpinan negeri Selangor, tetapi masih boleh menjadi mesra Pakatan," katanya.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: