"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apakah kedudukan sebenar Dewan Ulama' dalam PAS?

Ustaz Zamri Zainal Abidin 
Saya tidaklah menyokong atau menentang kerjasama PAS dan DAP. Namun apa yang dinamakan tahalluf Siyasi itu mengkagumkan saya seketika apabila PAS berani bekerjasama dengan DAP dalam aktiviti politiknya. Apalagi idea tahalluf Siyasi ini disokong dan diputuskan dengan sekian banyak hujahnya dan dalil keharusannya oleh Dewan Ulama'.

Muktamar Dewan Ulama terkini yang memutuskan untuk tidak meneruskan hubungan dengan DAP tetapi terus kekal dalam PR sekali lagi menarik minat saya terhadap Dewan Ulama'. Bukannya persoalan hubungan tahalluf Siyasi dengan DAP itu.

Apakah kedudukan sebenar Dewan Ulama' dalam PAS? Selama ini kita faham Dewan Ulama' adalah pakar rujuk tertinggi dan paling dihormati dalam PAS. Adakah keputusan semalam itu akan menjadi keputusan muktamad PAS dalam muktamar ke-61 ini?

Sekiranya selepas muktamar ini diputuskan sebaliknya tidakkah ia akan mencalarkan kredibiliti Dewan Ulama'? Umum masyarakat Malaysia khasnya orang Muslim Melayu yang amat berminat dengan perkembangan PAS akan bertambah hairan. Kenapa gesaan Dewan Ulama tidak diterima? Atau dikesampingkan?

Sekiranya keputusan Dewan Ulama' itu adalah sebagai satu amaran kepada DAP, saya kira keputusan atau gesaan seperti itu sesuai lahir daripada Dewan Pemuda. Ini kerana gerakan pemuda dalam sesuatu organisasi selaku generasi pelapis yang selalunya menjadi 'kumpulan pendesak'. Kumpulan yang masih segar dengan ideologi, kelincahan dan berdarah suhu 80°C (tidak mungkin 100°C kerana itu tahap mendidih yang berbahaya). Kemudian ia akan disejukkan oleh pimpinan utama yang berpengalaman.

Sekadar ulasan di pinggiran. Mohon maaf. Semoga sahabat-sahabat saya dalam Dewan Ulama' tidak terguris dengan ulasan mentah saya ini.

1 ulasan:

aku berkata...

Dewan Ulama pun telah dipenuhi oleh emosi