"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tony Pua dan Mahfuz Omar desak Azmin Ali pilih sama ada bersama DAP atau PAS untuk mentadbir Selangor

DIYANA IBRAHIM
Susulan tindakan PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan parti sekutu mereka, DAP, Selangor kini mahu Menteri Besar Mohamed Azmin Ali memilih antara 2 parti itu untuk meneruskan kerjasama.

Pengerusi DAP Selangor Tony Pua kelihatan setuju dengan kenyataan Datuk Mahfuz Omar yang menyarankan Azmin memilih untuk bekerjasama sama ada dengan DAP atau PAS, dalam mentadbir negeri yang terkaya itu.

"Saya setuju. PAS mahu Azmin memilih parti mana yang beliau mahu. DAP juga berkongsi pandangan sama. Jadi, saya serahkan kepada Azmin untuk tentukan.

"DAP akan bercakap dengan Azmin untuk melihat kedudukannya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, amat mustahil untuk DAP, PAS dan PKR mengadakan mesyuarat bagi membincangkan kedudukan dalam kerajaan negeri itu.

"Bagaimana anda mahu kita berdamai? Melainkan PAS mengadakan muktamar lain dan menarik balik resolusi memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP itu," katanya.

Beliau juga mengakui konflik dalaman Pakatan Rakyat (PR) itu tidak seharusnya berterusan, kerana ia akan menjejaskan peluang kemenangan gabungan parti pembangkang itu dalam pilihan raya akan datang.

Muktamar yang berlangsung minggu lepas menyaksikan golongan ulama memenangi hampir semua jawatan dalam kepimpinan tertinggi parti, dan pada masa sama ia menerima usul tanpa bahas Dewan Ulama memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan DAP.

Susulan itu, beberapa pemimpin PAS mengumumkan peletakan jawatan dalam kerajaan negeri Pulau Pinang dan Ketua Menteri yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata beliau menerimanya.

Perkara itu turut mendapat reaksi bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kesal dengan usul itu, mengatakan beliau bimbang apa yang berlaku boleh menjejaskan PR.

Beliau juga menggesa PAS tidak meneruskan usul itu yang katanya akan menyaksikan pakatan berpecah, sambil mengingatkan DAP merupakan kawan ketika susah.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: