"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Kalau Nik Aziz masih ada, PAS mungkin tak putus hubungan dengan DAP' - Ustaz Ahmad Awang

Sekiranya bekas mursyidul PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih ada, parti Islam itu mungkin tidak akan memutuskan hubungan dengan DAP, kata bekas naib presiden, Ahmad Awang.

“(Tidak berani putus) kerana masa tu (Nik Aziz masih ada) mereka (pimpinan PAS) tidak berani dengan Nik Aziz.

"Jadi bila Nik Aziz dah tiada (hubungan diputuskan),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ketika ditanya mengapa keputusan ini diambil secara terburu-buru, beliau mendakwa ia kerana golongan tersebut sudah lama menginginkan ia berlaku.

Ahmad berkata, persidangan Multaqa Dewan Ulama dua tahun lalu, turut menunjukkan tanda-tanda awal PAS akan keluar dari Pakatan Rakyat apabila golongan ulama itu mengadakan perbincangan ‘perlu dikaji hubungan PAS dalam Pakatan’.

Bagaimanapun, dakwanya, selepas dikritik hebat, golongan ulama itu menukar kenyataan - dari ‘perlu dikaji kepada mahu dikaji - bagi tujuan memperbaiki hubungan dalam Pakatan.

Ahmad merupakan pencabar jawatan presiden PAS dalam pemilihan minggu lalu.

“Ada komen yang kita lihat, orang bukan Islam pun hairan adakah Islam suruh buat macam ni, berbalah, bergaduh, labelkan orang itu dan ini.

“(Orang bukan Islam kata) kami ini nak bernaung bawah Islam, adakah jadi macam ini?,” katanya

Ahmad menambah tindakan itu terlalu menyedihkan dan menyifatkan ia tidak elok dari segi konteks dakwah Islam.

Bekas naib presiden PAS Ahmad Awang merancang untuk mengadakan satu pertemuan pada minggu depan di antara mereka yang kalah dalam pemilihan PAS minggu lalu.

Katanya, memandangkan tidak memegang apa-apa jawatan dalam PAS, beliau masih boleh berkhidmat dari luar parti bersama mereka yang tewas dan bukan dengan cara bersendirian.

“Kita sebagai ahli, kalau tidak boleh dari dalam parti, jadi dari luar parti, kita cadang beri pandangan (pada PAS) tapi tidak bersendirian.

“Kita cadang yang tersingkir dan ditolak adakan perbincangan mengenai apa yang berlaku selepas muktamar, jadi kita akan bincang nanti.

"Kalau secara bersendirian, ia tak berkesan,” kata Ahmad Awang ketika dihubungi Malaysiakini.

Ahmad mencabar jawatan presiden PAS dalam pemilihan parti itu minggu lalu.

Beliau tewas di tangan penyandangnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memperolehi kira-kira 80 peratus daripada 1,160 undi.

Calon golongan ulama menyapu bersih jawatan utama dalam pemilihan pucuk pimpinan baru PAS, di samping menguasai teraju Dewan Pemuda dan Muslimat parti itu.

Timbalan baru kepada Hadi adalah Tuan Ibrahim Tuan Man memperoleh 76 peratus undi, untuk menewaskan penyandang dua penggal jawatan itu, Mohamad Sabu.

Manakala tiga penyandang jawatan naib presiden - Datuk Husam Musa, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar - tersingkir dan digantikan dengan Idris Ahmad, Datuk Nik Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Ab Samad.

Sementara itu, Ahmad berkata beliau menolak untuk menyertai Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) walaupun ditawarkan jawatan tertinggi.

“PasMa elok jadi NGO saja, saya tidak boleh komen mengenai ini, saya tidak akan sertai PasMa,” katanya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: