"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Forum Pasca Muktamar PAS: Orang Cina janji tidak akan undi PAS lagi - Lim Hong Siang

YASMIN RAMLAN
Kolumnis politik Lim Hong Siang memegang buku Tsunami Cina ketika bercakap pada forum Pasca Muktamar di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 12 Jun, 2015.
Keputusan muktamar PAS baru-baru ini disifatkan sebagai satu pemisah dan menghancurkan harapan rakyat, termasuk kaum Cina yang sebelum ini pernah mengambil keputusan drastik dengan menyokong PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu, kata kolumnis politik Lim Hong Siang.

Namun, Lim yakin perkara sedemikian tidak akan berulang pada PRU yang akan datang kerana keputusan muktamar itu jelas menghancurkan sentimen dan semangat mereka.

"Orang Cina yang sekian lama fobia kepada PAS, fobia kepada Islam, akhirnya mengambil satu keputusan sedaya upaya menyokong PAS dalam PRU13," katanya yang menceritakan isi kandungan buku Tsunami Cina pada forum ‘Pasca Muktamar, ke Mana Hala Tuju PAS’ di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor semalam.

Beliau yang merupakan salah seorang ahli panel forum tersebut menceritakan bagaimana masyarakat Cina Tiong Hwa buat pertama kalinya memacakkan bendera PAS di depan rumah mereka sebagai tanda sokongan kepada parti Islam tersebut.

"Buat pertama kalinya mereka terbang dari Hong Kong , Shanghai, Taiwan, Australia, Amerika Syarikat, balik ke sini untuk mengundi parti Pakatan Rakyat (PR), roket (DAP) atau, PKR atau PAS.

"Dan di sini hari ini saya janji, fenomena ini, sentimen ini tidak akan berlaku dalam PRU14. Itu janji," katanya.

Katanya, muktamar pada 4 Jun lalu dianggap sebagai pemisah kerana pihak progresif selama ini dilihat membawa PAS ke tengah, menggalas aspirasi rakyat seluruh Malaysia.

Manakala puak yang terdiri daripada golongan konservatif dilihat cuba untuk mengekalkan perjuangan tradisi mereka.

"Kembali kepada prinsipnya tidak mahu berganjak dan melakukan apa saja asalkan jawatan tidak hilang," katanya merujuk golongan konservatif dalam PAS.

"Perwakilan PAS mengulangi sejarah, bukan mencipta sejarah. Jadi apa yang kita buat lebih daripada satu dekad kebelakangan ini habis begitu saja.

"Untuk satu dekad lalu, masyarakat Cina masih takut dengan PAS, yang dulunya dianggap sebagai pengganas. Begitu lama kita cuba nak bersihkan daripada label itu," katanya.

Lim berkata individu seperti Mohamad Sabu, Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Dr Mujahid Yusof dan Mohamed Hanipa Maidin merupakan mereka yang perlu diberi penghormatan dan tabik kerana membawa pendekatan yang berbeza dalam PAS.

"Mat Sabu turun ke demonstrasi, Dr Dzul hadir ke forum, Mujahid menjadi orang yang berdialog di gereja, Hanipa berbuih-buih berbahas dalam Dewan Rakyat.

"Semua ini menonjolkan yang PAS boleh menggalas untuk membawa kebaikan kepada rakyat, mengangkat maruah rakyat.

"Dan malam itu juga, kita lihat muka-muka itu. Walaupun mempunyai otak ekonomi paling cerdik - Husam Musa, kita melihat mereka yang boleh berdebat secara akademik - Dr Dzul, tewas kepada lutut dan siku di dalam jubah," katanya.

Beliau merujuk kepada ahli Dewan Ulama PAS Nasrudin Hassan yang pada muktamar itu mengatakan mahu mengajar DAP menggunakan siku dan lutut.
-malaysianinsider-

1 ulasan:

Asrul Sani berkata...

Taki undi pun tak apa...kami ulamak muktabar ahli syurga tak heran dengan dunia. Sebab tu kami tak akan letakkan jawatan yang diberi atas ikhsan DAP atau PKR. Kami hanya perlukan keredoan pangkat dan ganjaran wang.