"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Husam ganti Anwar peneraju PR 2.0

Mohd Azhar Abd Rahman
Nama Husam Musa tidak asing lagi bagi kebanyakan rakyat di Malaysia. Pandangan dan sentuhan ahli politik ini dalam memperkatakan sesuatu isu sering dinanti dan menjadi perhatian pihak media. Terbaru beliau mengajukan persoalan berkaitan kelulusan pembalakan kawasan di hutan simpan Ulu Sat yang terlibat dengan laluan lebuh raya rakyat.
Namun, dalam kerancakan rakyat Malaysia membincangkan ketidaktentuan politik negara kini, kita jarang mendengar kritikan dan ulasan terus daripada beliau sejak akhir-akhir ini.

Khabarnya kesihatan beliau kurang baik tetapi sudah beransur pulih dan sedang menunggu masa sesuai untuk membuat penampilan semula. Mudah-mudahan Allah kurniakan kesihatan yang baik kepadanya.

Lontaran Husam ganti Datuk Seri Anwar Ibrahim ini bukanlah untuk mengenepikan tokoh besar ketua Umum PKR dalam mengepalai gagasan pembangkang dalam berdepan Barisan Nasional. Namun persediaan mencari pengganti Anwar harus difikirkan bagi meneruskan perjuangan bersepakat parti-parti pembangkang ketika ini.

Persediaan ini juga menjadi keutamaan bagi seluruh pengundi di Malaysia untuk melihat siapa yang bakal menjadi kata pemutus dalam setiap isu yang berlaku melibatkan pakatan parti-parti pembangkang. Kita tidak mahu idea yang bukan-bukan, seperti separuh penggal orang lain jadi ketua dan separuh penggal lagi orang lain.

Husam merupakan salah seorang pimpinan PAS yang berperanan dalam mengarus perdanakan perjuangan PAS. Terlibat secara aktif dalam PAS sejak zaman mahasiswa mematangkan beliau dalam dunia politik. Rekod beliau tidak perlu dipertikai meskipun terdapat berbagai-bagai tohmahan yang merencatkan perjalanan politik beliau sehinggalah tersingkir dalam saf kepimpinan PAS Pusat dalam Muktamar PAS pada Jun lalu.

Melalui ulasan beliau pada tanggal 3 Syawal lalu, Husam kelihatan berminat untuk bersama dengan barisan GHB bagi menjadi wadah baru memperjuangkan prinsip “Islam rahmat untuk semua”. Perkembangan ini sangat positif bagi sebahagian besar penyokong beliau.

Ramai pendokong yang sefikrah dengan GHB mengharapkan Husam dapat bersama dengan pasukan GHB yang bakal membentuk sebuah parti baru dalam masa terdekat. Dengan adanya Husam, pengalaman beliau dalam pentadbiran negeri Kelantan adalah sangat berharga untuk dimanfaatkan.

Berdasarkan perkembangan tersebut, adalah sesuatu yang sangat baik sekiranya Husam diangkat pada kedudukan yang membolehkan beliau menjadi nakhoda kepada gerakan Pakatan Rakyat 2.0 bagi meneruskan perjuangan rakyat yang selama ini dikepalai Anwar.

Dalam banyak hal yang membabitkan PAS dan DAP sebelum ini, Husam dilihat bersederhana dan mementingkan kesepakatan dalam meneruskan tekanan kepada BN daripada bercakaran yang tidak mendatangkan kebaikan kepada kedua-dua pihak. Namun tidak dinafikan, dengan kedudukan beliau sebagai naib presiden pada ketika itu tidak memberi banyak kesan dalam setiap apa yang cuba dilakukan beliau.

Pada muktamar yang lalu beliau mendapat pencalonan sebagai Presiden yang menggambarkan terdapat sokongan di peringkat akar umbi untuk melihat beliau diletakkan sebagai orang penting dalam PR tetapi beliau menolak pencalonan tersebut atas beberapa faktor. Meskipun jumlah pencalonannya tidak setanding Datuk Seri Abdul Hadi Awang namun hasrat untuk ‘mempresidenkan’ Husam wujud di kalangan ahli-ahli PAS sebelum ini.

Keakraban beliau dengan Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz sejak zaman mudanya sudah pasti memberi banyak kesan terhadap gaya politik dan pendekatan beliau dalam berpolitik. Seperti yang semua maklum, ’Tok Guru Sepanjang Zaman’ ini sangat dihormati segenap lapisan masyarakat dan sering menjadi rujukan dalam banyak hal. Husam sudah semestinya tahu mengapa TGNA disayangi ramai orang dan mudah-mudahan beliau dapat mewarisi sedikit-sebanyak seni politik Allahyaraham TGNA ini.

Sokongan golongan muda kepada beliau turut menjadi pendorong kepada lontaran Husam ganti Anwar ini. Melihat kepada usahanya dalam membantu musibah banjir Kelantan melalui Yayasan Darul Hijrah, ramai anak muda sedia menjadi tulang belakang kepada gerak kerja tersebut. Kehadiran beliau dalam menyantuni anak muda dapat dilihat dalam banyak program yang melibatkan beliau dan golongan muda sebelum ini.

Justeru sebagai seorang yang menaruh harapan tinggi kepada PR 2.0 yang dikhabarkan akan dilancar dalam masa terdekat, Husam haruslah bersedia dan diberi kepercayaan untuk menjadi orang nombor satu PR 2.0. Tindakan ini pasti memberi lonjakan sokongan dan keyakinan kebanyakan rakyat di Malaysia untuk berdepan dengan BN terutamanya pada Pilihan Raya Umum akan datang di kala Anwar Ibrahim masih dizalimi  
-detikdaily-

1 ulasan:

ZaimaZ berkata...

In syaa ALlah. Moga beliau sihat Dan kembali menerajui Kerajaan Kelantan agar legasi ALlahyarham TGNAA dapat direalisasikan sepenuhnya. Amienn ya Robb.