"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemimpin GHB mula melepaskan jawatan dalam PAS

Pemimpin dan ahli PAS yang terlibat dengan Gerakan Harapan Baru (GHB) mula meletakkan jawatan masing-masing dalam parti Islam itu selepas nama parti baharu diumumkan.

Langkah ini diambil menjelang penubuhan parti Islam baharu dinamakan Parti Amanah Rakyat (Amanah) yang akan diperkenalkan kepada umum semasa sambutan hari kemerdekaan negara 31 Ogos ini.

Mengikut perlembagaan PAS, selepas menyertai parti baharu, keahlian dalam parti Islam itu akan gugur secara automatik.

Petang ini satu sidang media khas akan diadakan di kawasan Parlimen Kota Raja bagi mengumumkan peletakan jawatan masing-masing di peringkat cawangan dan kawasan.

Selain meletakkan jawatan, 9 cawangan PAS dijangka dibubarkan di kawasan Kota Raja hari ini apabila semua AJK mereka menyertai GHB.

"Lebih 30 pemimpin dan AJK kawasan serta cawangan termasuk pimpinan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan hadir pada sidang media ini," kata satu kenyataan yang dikeluarkan penggerak GHB Kota Raja hari ini.

Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud adalah Ketua Wanita GHB yang kini dalam proses mendaftarkan nama parti mereka.

Selain Kota Raja, PAS kawasan Kelana Jaya yang dipimpin Izham Hashim selaku yang dipertua kawasan juga dijangka akan mengambil langkah sama.

Ini kerana, selain Izham yang merupakan penyelaras GHB negeri Selangor, majoriti AJK PAS kawasan Kelana Jaya adalah penyokong GHB.

Walaupun sebahagian pemimpin cuba memujuk ahli mereka agar kekal dengan parti itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil sikap berbeza.

Hadi menyifatkan keluarnya pemimpin dan simpatisan GHB daripada PAS sebagai satu langkah pembersihan kepada parti itu.

"Itu pembersihan parti yang berlaku dengan sendiri. Apabila berlaku banjir bah, pasir berubah.

"Tidak risau, tidak risau. Gembira... gembira," katanya ketika hadir di Majlis Hari Raya Terbuka PAS Terengganu di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: