"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM anjur solat hajat selamatkan Malaysia daripada rasuah (video)

Kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menunaikan solat hajat secara berjemaah mohon Allah melindungi institusi itu, di Putrajaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 4 Ogos, 2015.
Kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menunaikan solat hajat secara berjemaah mohon Allah melindungi institusi itu, di Putrajaya, hari ini.

Selepas beberapa pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan bagi membantu siasatan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), institusi itu mengadakan solat hajat memohon petunjuk Allah supaya institusi itu terus kukuh dan menyelamatkan negara daripada rasuah.

Solat hajat diketuai Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Zakaria Jaffar, disertai kira-kira 100 kakitangan di bangunan badan pencegah rasuah itu di Putrajaya selepas solat zohor tengah hari tadi.

Selesai solat, Zakaria mengetuai bacaan doa dan memberi tazkirah (ceramah) ringkas memohon supaya perjuangan SPRM membela nasib bangsa dan negara dapat diteruskan.

"Kami memohon kepada-Mu ya Allah berilah kekuatan kepada kami untuk melaksanakan tugas dengan sebaik-baik mungkin.

"Berilah bimbingan dan petunjuk bagi mencapai kejayaan dalam melaksanakan tugas kami memerangi perbuatan rasuah yang mungkar dan penuh dengan dosa," katanya dalam doa tersebut.

Zakaria turut memohon supaya Allah memberi kekuatan kepada pegawainya mempertahankan masyarakat dan negara daripada dicemari dengan rasuah dan penyelewengan.

"Jauhilah kami daripada perbuatan mungkar, berilah kekuatan kepada pejuang rasuah ini supaya mereka dapat menyelamatkan diri dan keluarga mereka, organisasi, masyarakat terutamanya negara yang kami kasihani ini daripada dicerobohi perbuatan orang yang mengamalkan rasuah," katanya.

Zakaria ketika ditemui pemberita berkata, SPRM mengadakan solat hajat secara berterusan supaya Allah membantunya dan pegawainya melaksanakan tugas dengan baik memandangkan ia satu pekerjaan yang berat di sisi agama.

"Rasuah ini berpunca daripada perbuatan yang haram. Rasullah kata, orang yang memberi dan menerima rasuah masuk neraka. Nak cegah orang masuk neraka ini satu pekerjaan yang berat, yang besar.

"Jadi, kita kena minta tolong daripada Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui yang akan menunjuk jalan membantu kita melaksanakan tugas terbaik dan paling mulia," katanya.

Zakaria, 58, yang akan bersara secara rasmi pada 12 Oktober ini berkata, sepanjang 35 tahun khidmatnya dalam agensi itu, beliau menganggap perjuangannya ialah "mencegah individu daripada terjerumus ke neraka".

"Daripada masuk kerja, sampai habis pencen, 35 tahun berjuang mencegah orang daripada masuk neraka dan saya menjadikan sepanjang hidup itu sebagai satu ibadah.

"Apabila saya keluar daripada (SPRM) ini, saya pindahkan apa yang saya yakini kepada semua warga SPRM, supaya sepanjang masa apa yang dibuat ini menjadi ibadah di sisi Allah," katanya.

Semalam, polis Cawangan Khas menyoal siasat Pengarah (Operasi Khas) SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin bagi membantu siasatan dalam kes kebocoran maklumat siasatan 1MDB.

Manakala bekas penasihat SPRM Tan Sri Rashpal Singh ditahan Sabtu lalu kerana dipercayai berkaitan dengan laporan pertemuannya dengan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di London.

Polis Cawangan Khas turut menyerbu pejabat Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Sazilee Abdul Khairi mencari dokumen berkaitan syarikat pelaburan negara yang sarat dibebani hutang berbilion ringgit itu.

Serbuan di pejabat Sazilee di Bahagian Operasi Khas SPRM Putrajaya itu turut merampas sebuah komputer riba, malah kediamannya juga diperiksa.

Sazilee, pegawai yang dipinjamkan daripada Jabatan Peguam Negara, antara 3 yang ditahan minggu lalu selain Rashpal dan Sekretariat Kewangan dan Pasukan Petugas Khas Pentadbiran Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Jabatan Peguam Negara, Jessica Gurmeet Kaur.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: