"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib ‘bunuh diri’ biarkan Muhyiddin, Shafie kekal dalam Umno

Amin Iskandar
Selepas membuat keputusan berani menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Kabinet pada Selasa, Datuk Seri Najib Razak dijangkakan akan memecat bekas timbalan perdana menteri itu daripada jawatan timbalan presiden Umno.

Selain Muhyiddin, Datuk Seri Shafie Apdal yang turut digugurkan daripada Kabinet dijangka akan dipecat sebagai naib presiden Umno.

Akan tetapi ianya masih belum berlaku malahan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jumaat yang dikatakan seharusnya menjadi medan memecat Muhyiddin dan Shafie terpaksa ditangguhkan.

Ternyata Najib masih belum selesai dengan Umno sebelum menyingkirkan Muhyiddin dan Shafie daripada Kabinet.

Sebaliknya Najib terpaksa memanggil pengerusi badan perhubungan Umno negeri dari seluruh negara untuk menjelaskan tindakannya menggugurkan Muhyiddin dan Shafie.

Pertemuan itu diadakan selepas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberikan amaran Muhyiddin perlu dihormati kerana masih orang nombor dua parti.

Menteri besar Johor itu menjadi orang pertama membela Muhyiddin kerana beliau sendiri berdepan dengan kemarahan akibat daripada tindakan drastik Najib itu.

Pemimpin Umno negeri dan rakyat Johor kebanyakannya sangat marah dengan tindakan Najib dan panglima baharunya, Datuk Seri Azalina Othman Said akan menerima akibat dalam pilihan raya akan datang jika terus “menghentam” Muhyiddin.

Jelajah seluruh negara

Di mata ahli-ahli Umno, Muhyiddin dan Shafie dianggap “hero” kerana dibuang daripada Kabinet kerana berani mengkritik syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebagai timbalan presiden dan naib presiden juga, sudah tentulah Muhyiddin dan Shafie mempunyai pengaruh yang kuat dalam Umno.

Sebagai timbalan presiden dan naib presiden Umno juga, Muhyiddin dan Shafie boleh menjelajah di seluruh negara untuk memberikan penerangan kepada ahli parti apa yang menyebabkan mereka mengkritik Najib dan 1MDB.

Dan ini sudahpun dilakukan Shafie pada mesyuarat Umno Hulu Selangor semalam.

Pagi ini seluruh negara tertumpu kepada mesyuarat Umno Kluang yang akan dirasmikan Muhyiddin. Apakah yang bakal dikatakan Muhyiddin di negeri kelahirannya itu?

Kerana dalam kenyataan ringkas Muhyiddin selepas digugurkan daripada Kabinet, beliau berkata:

“Sebagai timbalan perdana menteri, saya terlibat secara langsung dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan dan melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada saya dengan penuh amanah.

“Selama saya berkhidmat, saya sentiasa mendokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan perdana menteri.

“Kecuali dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara. Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada Kabinet maka saya redha.”

Maka Najib masih belum selamat walaupun Muhyiddin dan Shafie sudah tidak berada dalam Kabinet. Makin lama Muhyiddin dan Shafie dibiarkan berada dalam Umno, makin pendeklah nyawa Najib dalam parti Melayu itu.

Dan masalah ini juga perlu ditanggung Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Ini kerana, walaupun memenangi undi tertinggi sebagai naib presiden dalam pemilihan Umno lepas, belum tentu Zahid mendapat undi sama jika bertanding sebagai timbalan presiden. 
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: