Shahbudin Husin
Derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib Razak sedang menjadi isu besar dalam negara sekarang ini. Walaupun SPRM seolah-olah sudah membersihkan Perdana Menteri dengan mengatakan ia adalah sumbangan penderma dan boleh terlepas daripada tindakan undang-undang, hukuman persepsi sedang memasuki fasa yang lebih berat lagi.
Secara umumnya, baik rakyat biasa mahupun ahli UMNO, malah sesiapa saja yang berakal waras, tetap sukar menerima pemberian wang sebesar itu sebagai derma semata-mata.
Lebih ramai yang mengaitkannya dengan penyonglapan, berkaitan rasuah atau penggubahan wang haram. Lagi pula peraturan untuk penjawat awam kerajaan dari segi menerima sumbangan, hamper dan sebagainya sudah cukup jelas mengenainya.
Ikut logik akal, kalau nama Najib Razak itu sekadar seorang ofis boy atau despatch dan bukannya Perdana Menteri, tentulah tiada sesiapa mahu menderma sebesar itu kepadanya.
Dalam hal ini, Najib harus mendedahkan siapakah penderma, bagaimana wang itu dibelanjakan, berapa lebihannya dan mengapa akaun banknya yang menerima kemasukan RM2.6 bilion itu sudah ditutup?
Badan penguatkuasa seperti SPRM, PDRM dan Peguam Negara seharusnya juga melihat semula perkara ini, jika tidak bukan saja undang-undang rasuah negara menjadi ketawa dunia, malah akan merangsang lebih ramai pemimpin politik mempunyai simpanan wang tanpa had dalam akaun peribadi masing-masing.
Lagi lama Najib berdiam diri dan tidak berterus terang, lagi membengkak perasaan rakyat dan ahli-ahli UMNO terhadap beliau. Menteri Besar Johor, Khaled Nordin dan anaknya yang meluahkan perasaan mengenai rasuah dan wang RM2.6 bilion dalam laman sosial masing-masing adalah manifestasi denyut nadi rakyat sebenarnya.
Secara nyata dan disedari oleh sesiapa saja, isu ini kian menjadikan Najib dan UMNO makin dibenci dan dijauhi, sekaligus membuatkan harapan memenangi PRU 14 jauh lebih sukar daripada sebelum ini.
Di media sosial sejak semalam, rakyat meluahkan pelbagai bentuk kemarahan, sindiran dan kecaman terhadap Najib berkaitan wang RM2.6 bilion itu. Kata-kata Tun Mahathir bahawa UMNO akan kalah selagi Najib menjadi Perdana Menteri dan Muhyiddin pula mengingatkan pergerakan dua peratus pengundi saja berbanding pilihanraya 2008 sudah cukup untuk menjadikan BN sebagai pembangkang dalam pilihanraya akan datang, mulai diterima ada asas dan kebenarannya.
Najib dengan pelbagai isu sebelum ini, ditambah dengan pengesahan SPRM mengenai wang RM2,600 juta pernah masuk ke dalam akaun peribadinya sebelum pilihanraya 2013 lalu, menjadikan dirinya kini sebagai beban utama kepada UMNO dan BN.
Dalam diam-diam, bukan saja WSJ, Sarawak Report dan The Edge dianggap benar, malah Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan Gani Patail dilihat sebagai korban politik yang dimangsakan semata-mata untuk memastikan Najib terus kekal sebagai Perdana Menteri.
Tetapi oleh kerana Muhyiddin sudah terkeluar daripada kabinet, peluangnya untuk kembali mungkin nampak sukar walaupun jika Najib berjaya diketepikan. Bola kini sebenarnya di kaki Zahid Hamidi yang baru dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sama ada mahu terus mengekalkan Najib atau melakukan sesuatu yang membuatkannya dikenang sepanjang zaman.
Zahid akan menerima sokongan penuh jika beliau berani memulakan desakan, bukan saja agar Najib berterus terang mengenai wang itu, bahkan sokongan lebih melimpah bakal diterimanya jika tidak gentar mendesak pengunduran Najib yang sudah menjadi beban kepada parti dan negara.
Ahli-ahli UMNO akan percaya dan memberi sokongan kepadanya, bukan saja kerana Najib berada di kedudukan paling teruk ketika ini, tetapi juga kerana yakin Zahid ada asas agama yang kukuh serta sokongan yang kuat di dalam parti.
Lebih dari itu, Muhyiddin, Shafid Apdal, Khaled Nordin dan mereka yang senada secara diam pasti akan akan turut bersama-samanya kerana mempertahankan Najib sudah dianggap menghodoh serta mencomotkan lagi wajah parti dan negara.
Melalui tindakan ini, Najib juga tidak mungkin berani memecat Zahid kerana kesan pemecatan Muhyiddin masih baru lagi. Lagi pula, jika Zahid juga dipecat, siapa lagi yang mahu dilantiknya?
Inilah masanya untuk Zahid memulakan langkahnya sebagai jihad paling besar dalam karier politiknya. Dengan kedudukan sebagai orang nombor dua dalam kerajaan serta Menteri Dalam Negeri dan kiranya Najib dapat diyakinkan bahawa beliau tidak dikenakan tindakan undang-undang selepas berundur serta sepupunya, Hishammuddin akan dijadikan Timbalan Perdana Menteri selepas itu, kesepakatan mungkin lebih mudah dicapai.
Lagi pun ketakutan Najib sehingga beliau memecat Muhyiddin ialah kerana tiada jaminan dirinya dapat bersara dengan aman kiranya meletakkan jawatan. Melantik Zahid pula mungkin sebahagian perancangan Najib untuk memudahkannya berundur dengan selesa, sambil memberi laluan kepada Hishammuddin.
Berbanding tidak melakukan apa-apa, malah terus meminta rakyat dan ahli UMNO menyokong Najib setelah bala RM2.6 bilion ini, ia hanya akan menyebabkan Zahid turut dibenci dan kemungkinan karam sekali dalam pilihanraya nanti.
Jika ingin berjihad, menyelamatkan UMNO, memulihkan negara dan menjadi pemimpin Perak pertama sebagai Perdana Menteri, ketika isu RM2.6 bilion tengah panas inilah waktu yang sesuai bagi Zahid memulakan langkah pertamanya.
http://shahbudindotcom.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan