"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Inilah Bakal Suami Abby Abadi

Faizal dan Abby bakal disatukan sebagai suami isteri pada 14 Ogos depan.
PETALING JAYA: Bakal suami Abby Abadi, Muhammad Faizal Zakaria memberitahu sikap penyayang dan dermawan yang ada pada bekas anggota kumpulan Elite itu membuatkan dia tertarik hati untuk memperisterikan wanita berkenaan.

Muhammad Faizal, 41, yang bertugas sebagai wartawan kanan di meida pembangkang iaitu Harakah berkata, sepanjang perkenalan mereka, Abby sering membantu golongan memerlukan dan dia melihat ia adalah kualiti paling baik wanita itu.

"Ramai yang tidak tahu Abby sebenarnya seorang penyayang dan sikap suka membantu dan menderma kepada golongan susah, itu membuatkan saya tertarik hati kepadanya," kata Muhammad Faizal kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abd Manan, 38, dan Faizal bakal disatukan sebagai suami isteri pada 14 Ogos ini di Masjid Keramat dekat sini manakala majlis kenduri kesyukuran akan diadakan pada 16 Ogos.

Dalam pada itu, Faizal berkata, dia tidak pernah menilai Abby berdasarkan cakap-cakap negatif terhadap bakal isterinya itu sebelum ini kerana ia tidak adil.

Abby dan Faizal berkenalan pada 2013.
"Saya bukan jenis mudah menilai orang daripada apa yang saya baca atau dengar dan mengenali Abby dia adalah seorang wanita yang berbeza daripada apa yang diperkatakan," katanya.

Tambahnya lagi, soal status Abby yang juga seorang janda juga bukan isu kerana dirinya sendiri sendiri pernah mengalami kegagalan rumah tangga sebelum ini.

"Saya ada tiga orang anak hasil perkahwinan terdahulu, begitu juga Abby. Ini adalah jodoh kami dan Insya-Allah ia akan saling melengkapi kami," ujarnya.

Mengimbau perkenalan bersama Abby, Faizal berkata, hubungan mereka pada awalnya sekadar profesional di antara wartawan dan selebriti namun ia mula berputik selepas kembali bertemu pada akhir tahun lalu.

"Saya seorang wartawan dan banyak membuat follow-up dengan Abby selain pernah bertemu dengannya ketika menghadiri program yang melibatkannya atas kapasiti kerja.

"Selepas pilihan raya umum pada 2013 berakhir kami pun tidak lagi berhubung namun kembali bertemu setahun kemudian dalam sebuah program pada Disember tahun lalu dan mula rapat sehinggalah mengambil keputusan untuk berkahwin," jelasnya.

Terdahulu Abby pernah berkahwin dengan aktor, Norman Hakim dan dikurniakan tiga cahaya mata sebelum bercerai pada tahun 2008.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 12, Marissa Dania Hakim, 10, dan Maria Danisha Hakim yang berusia tujuh tahun.

Abby kemudiannya bertemu jodoh dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 25, pada 2013 sebelum bercerai selepas 11 bulan berumah tangga.
-mstar-

Tiada ulasan: