"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

15 Soalan Maut Dari Anak MB Johor Kepada Najib

PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan, Undang-undang dan Integriti Parlimen Belia Malaysia, Akmal Saufi Mohamed Khaled menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan sama ada derma berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya adalah untuk kegunaan kerajaan, Umno ataupun peribadi.
Ini berikutan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung punca dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri itu telah disahkan bukan dari tabung 1MDB tetapi adalah sumbangan daripada penderma.

Namun hasil siasatan itu tidak menyebut ia adalah derma daripada mana dan siapa.

Akmal Saufi, 28, yang juga anak kepada Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bertanya; "Andai kata derma tersebut merupakan derma peribadi kepada Datuk Seri dan bukan kepada Umno, adakah Datuk Seri menerima wang tersebut ketika memegang jawatan sebagai salah seorang ahli jemaah menteri?Bolehkah seorang menteri atau timbalan perdana menteri atau perdana menteri menerima derma apabila sedang memegang jawatan di dalam kerajaan? Adakah perlu duit derma tersebut diisytihar kepada rakyat dan ahli Kabinet yang lain?"

Akmal Saufi bertanya demikian menerusi laman Facebook miliknya pada Selasa.

Bagaimanapun tegas Akmal Saufi, persoalan yang dibangkitkannya berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM2.6 bilion yang didepositkan ke akaun Najib dibuat atas kapasiti peribadi.

Berikut adalah 15 soalan yang dibangkitkan Akmal Saufi di Facebooknya:

1) Ketika Datuk Seri Najib menerima dana sejumlah RM2.6 billion, adakah Datuk Seri sedia maklum sejumlah wang telah memasuki akaun Datuk Seri?

2) Apakah bukti bahawa duit tersebut merupakan derma dan bukan duit berkaitan 1MDB mahupun pihak yang mempunyai transaksi berkaitan 1MDB?

3) Sebagaimana kenyataan SPRM, duit tersebut adalah derma. Adakah sumbangan tersebut merupakan sumbangan bagi kepada kerajaan, tujuan Umno atau tujuan peribadi?

4) Jika duit tersebut adalah sumbangan buat Umno, adakah kepimpinan Umno terutamanya Majlis Tertinggi Umno mengetahui tentang derma tersebut?

5) Jika Majlis Tertinggi Umno tidak mengetahui adakah ini bermaksud Umno tidak akan mengetahui kewujudannya jika Datuk Seri tidak memaklumkan kewujudannya?

6) Bilakah Datuk Seri bercadang untuk memaklumkan kepada Majlis Tertinggi jika tidak didedahkan kepada Majlis Tertinggi?

7) Andai kata derma tersebut merupakan derma peribadi kepada Datuk Seri dan bukan kepada Umno, adakah Datuk Seri menerima tersebut ketika memegang jawatan sebagai salah seorang ahli jemaah menteri?

8) Bolehkah seorang menteri atau timbalan perdana menteri atau perdana menteri menerima derma apabila sedang memegang jawatan di dalam kerajaan?

9) Adakah perlu duit derma tersebut perlu diistihar kepada rakyat dan ahli Kabinet yang lain?

10) Adakah Gabenor Bank Negara dan cendekiawannya sedar akan pergerakan duit sejumlah RM2.6 billion ke dalam negara?

11) Adakah Lembaga Hasil Dalam Negeri sedar mengenai sejumlah duit yang telah diterima Datuk Seri Najib?

12) Jika ya, adakah Datuk Seri Najib telah membayar sebarang cukai pendapatan berdasarkan nilai duit tersebut?

13) Adakah seorang perdana menteri boleh mendapat pengecualian cukai?

14) Jika Datuk Seri Najib mendapat pengecualian cukai, adakah pengeculian tersebut adalah kepada gaji Datuk Seri Najib atau apa saja derma yang diterima beliau?

15) Jika derma tersebut adalah bagi tujuan kerajaan, mengapa Kementerian Kewangan tidak mengetahui kewujudannya?
-mstar-

Tiada ulasan: