"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

FAM gagal fahami hasrat Faiz Subri, kepentingan negara

ARIF ATAN
FAM dikatakan kurang pekaPemuda Amanah Nasional menyifatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengabaikan kepentingan pemain dan negara apabila penerima Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Faiz Subri gagal berucap dalam bahasa kebangsaan dalam majlis berprestij itu.
Timbalannya, Faiz Fadzil berkata, kejayaan penyerang Pulau Pinang itu dilihat sedikit terjejas apabila beliau terpaksa mengambil masa 30 saat untuk mencari teks ucapan dalam bahasa Inggeris melalui telefon bimbitnya.

"Seharusnya, pihak FAM telah bersedia daripada awal tentang perkara ini kerana umum sudah mengetahui melalui majlis anugerah yang lepas bahawa penerima anugerah akan memberikan ucapan.

"FAM sebagai ahli FIFA boleh sahaja menghubungi pihak penganjur untuk memaklumkan bahawa seorang penterjemah akan disediakan bagi membolehkan Faiz Subri bercakap dalam Bahasa Melayu kerana Faiz Subri sejak awal sudah menunjukkan keinginannya untuk memartabatkan budaya Melayu dan bahasa kebangsaan di dalam majlis tersebut," ujarnya.

Berbangga dengan pencapaian Faiz Subri yang telah berjaya mengharumkan nama negara, beliau bagaimanapun mengingatkan FAM harus terlebih dahulu membuat persediaan awal dengan menyediakan seorang 'tutor' bagi melatih Faiz Subri.

Menurutnya, langkah tersebut bagi membolehkan Faiz Subri menyampaikan ucapan dalam bahasa Inggeris tanpa sebarang gangguan jika benar FIFA tidak membenarkan bahasa Melayu diguna dalam majlis tersebut.

"Kegagalan FAM dalam perkara ini menunjukkan FAM gagal memahami hasrat Faiz Subri dan menjaga kepentingan beliau dan negara yang sudah berjaya mengharumkan nama negara dalam sukan bola sepak antarabangsa," ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Mengulas lanjut, Faiz turut menganggap FAM seolah-olah tidak yakin jaringan 'cantik' pemain berasal dari Kedah itu sehingga mampu mengetepikan dua calon lain iaitu pemain tengah Corinthians, Marlone dan penyerang skuad kebangsaan wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez.

"Walaupun boleh dikatakan seluruh rakyat Malaysia tidak berhenti menyokong dan begitu yakin beliau akan memenangi anugerah Puskas tersebut, namun FAM pula tidak menyediakan persediaan terbaik dan rapi kepada Faiz Subri dalam majlis tersebut.

"Adakah FAM pula tidak yakin dengan keunikan gol jaringan Faiz Subri untuk memenangi anugerah Puskas? Kepada saudara Faiz Subri, kami mendoakan kejayaan anda di masa depan dan mengharapkan anda akan bermain di peringkat yang lebih tinggi termasuk mewakili pasukan kebangsaan bagi mengangkat mutu dan pencapaian bolasepak negara.

"Kemenangan ini adalah suatu pencapaian luarbiasa bagi pemain bolasepak Malaysia kerana walaupun mutu pasukan bolasepak negara masih dipersoalkan, namun negara dapat melahirkan seorang pemain yang mempunyai kemahiran yang tinggi sehingga berjaya meletakkan nama beliau di kalangan pemain terkemuka dunia.

"Kejayaan ini juga menunjukkan bahawa kualiti dan kemenangan boleh dicapai melalui merit dan bukannya kuota," tambah Faiz lagi.

Tiada ulasan: