"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Masyarakat Islam alami diskriminasi kepercayaan agama, lapor Centhra

BERNAMA
Azril Mohd AminDiskriminasi atas dasar kepercayaan agama dialami oleh golongan majoriti atau umat Islam di negara ini, bukan oleh golongan minoriti atau bukan Islam.

Pengarah Eksekutif Pusat bagi Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) Azril Mohd Amin berkata demikian, bagi menyangkal Laporan Suruhanjaya mengenai Kebebasan Agama Antarabangsa Amerika Syarikat (USCIRF) 2017 bagi Malaysia.

“Minoriti di Malaysia secara umumnya tidak mengalami sebarang diskriminasi atas alasan kepercayaan agama, tetapi yang sebenar, realitinya adalah sebaliknya.

"Majoriti mengalami diskriminasi atas alasan kepercayaan agama manakala minoriti diberi kebebasan, walaupun ia melanggar undang-undang atas alasan kebebasan beragama,” kata Azril dalam penjelasan awal CENTHRA’ sebanyak 30 muka surat mengenai laporan USCIRF.

Penjelasan CENTHRA antaranya sebagai contoh ialah struktur tempat ibadat yang dibina secara haram di tanah milik kerajaan negeri tanpa kebenaran kerajaan, lot kedai , pejabat dan bangunan komersial dijadikan sebagai gereja Kristian yang melanggar undang-undang perancangan. Sebuah lot kedai di Taman Medan, Selangor, diubahsuai menjadi gereja tanpa kebenaran pihak bekuasa tempatan pada 2015.

Dalam pada itu, beliau berkata contoh lain ialah sesetengah pekerja yang beragama Islam dinafikan hak oleh syarikat-syarikat swasta untuk menunaikan solat Jumaat yang diwajibkan.

Beliau berkata demikian bagi menyangkal satu daripada perkara dalam laporan USCIRF yang menyatakan sesetengah menghadapi kesulitan untuk mengakses bahan-bahan agama seperti Bible dan mendapat kebenaran kerajaan untuk membina rumah ibadat.

Mengenai bahan-bahan agama, Azril berkata bible dijual secara terbuka di hampir setiap kedai buku umum.

Azril turut mempersoalkan laporan USCIRF yang mendakwa kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), atau institusi Islam, memburuk-burukkan golongan minoriti agama dalam tajuk-tajuk untuk khutbah, ini adalah tidak benar sama sekali dan tidak disokong oleh sebarang bukti.

Dakwaan seperti sesetengah pemerhati membuat spekulasi bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak boleh mengadakan pilihan raya awal “bergantung apabila beliau fikir Umno boleh mendapat undi terbanyak” tidak disokong oleh sebarang bukti dalam laporan USCIRF.

“Siapakah pemerhati itu dan mengapa mereka tidak dipetik? Walaupun jika benar,tidak melanggar kebebasan beragama dan ia selaras dengan amalan demokrasi, ”kata beliau sebagai mengulas laporan USCIRF bahawa kuasa-kuasa politik terus mengeksploitasi agama dan etnik, menarik perhatian kepada interpretasi yang semakin konservatif dan nasionalis mengenai Islam.

Azril juga berkata fahaman lain seperti Syiah, Ahmaddiyah, Baha’I dan Al-Arqam telah diharamkan kerana kebimbangan mengenai keselamatan negara, bukan kerana tindakan tidak toleransi oleh kerajaan seperti yang digambarkan dalam laporan USCIRF.

Kecaman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak mengenai layanan kerajaan Myanmar ke atas minoriti Islam Rohingya, seperti disebutkan dalam laporan USCIRF itu, adalah wajar memandangkan pembunuhan dan pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh pihak berkuasa Myanmar ke atas mereka.

“Semua ini berlaku walaupun adanya kerajaan baharu, yang kononnya kerajaan demokratik diketuai oleh ikon antarabangsa Aung San Suu Kyi. Begitu juga dengan penghantaran kapal Malaysia ke Sittwe untuk memberi bantuan kepada etnik Rohingya dengan membawa bekalan dan bantuan kemanusiaan,” kata beliau.

Tiada ulasan: