"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mana Pemuda PAS ketika saya dedah rasuah? - Rafizi

FMT Reporters
PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini membalas serangan Pemuda PAS Selangor terhadapnya, dengan mempersoalkan mereka yang menurut beliau tidak membantunya mendedahkan salah laku kerajaan.

Malah Ahli Parlimen Pandan itu berkata pemimpin PAS lebih sanggup “menerima wang rakyat terus dari perdana menteri”, mengulangi dakwaannya sebelum ini berhubung bekas Timbalan Presiden PAS Datuk Nasharuddin Mat Isa menerima wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menyifatkan kenyataan Pemuda PAS sebagai lucu, Rafizi tiada masalah menyahut cabaran mereka jika tidak dihadapkan ke mahkamah.

Rafizi tidak dapat bertanding pada PRU akan datang selepas dikenakan hukuman penjara 1 setengah tahun. Pada 2016, Rafizi didapati bersalah mendedahkan dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) berkaitan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Kalaulah Pemuda PAS sama-sama membantu saya menjalankan amanah melawan penyelewengan membabitkan Datuk Seri Najib Razak, mungkin mereka bersama-sama saya dalam kandang tertuduh.

“Mungkin juga tugas ini dapat diagih-agihkan agar tidaklah saya terpaksa berdepan sehingga 12 kes mahkamah kerana ada pemuda PAS yang berani juga membongkarkan penyelewengan dan rasuah dan berdepan hukuman penjara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas cabaran pembahas perwakilan Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar di muktamar parti pagi tadi, yang mengancam akan “menggulingkan” Rafizi dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada pilihan raya akan datang.

“Adalah sangat lucu apabila Pemuda PAS mencabar saya bertanding di Pandan kerana saya bukannya takut atau mahu lari ke mana-mana,” katanya.

Mohamed Sukri melontarkan cabaran itu kerana merasakan mereka berdua sering menyerang partinya. Beliau juga percaya Rafizi dan Azmin mungkin tewas di kawasan masing-masing tanpa bantuan jentera PAS.

Rafizi mengingatkan yang beliau mendapat kemenangan dengan majoriti besar berbanding ahli Parlimen PAS.

“Undi Melayu yang saya menang juga jauh meninggalkan undi Melayu Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Samad di DUN Cempaka dalam Parlimen saya. Ini bermakna ada pengundi Melayu yang mengudi saya tetapi tidak mengundi PAS,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan tindakan Pemuda PAS yang tidak memfailkan saman atau laporan polis berhubung akuan bersumpahnya 2 minggu lalu, menamakan Nasharuddin sebagai bekas pemimpin yang menerima wang 1MDB.

“Barangkali mereka tidak mahu saya hilang kelayakan bertanding agar mereka dapat berdepan dengan saya pada PRU akan datang,” katanya sinis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini berkata Rafizi masih kekal sebagai ahli Parlimen sementara menunggu proses rayuan selesai. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 9 Ogos ini untuk sesi pendengaran.

Tiada ulasan: