"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi namakan peniaga terima RM43 juta daripada SRC

Khairil Ashraf and Nawar Firdaws
KUALA LUMPUR: Selepas menamakan 3 pihak yang menerima wang berkait 1MDB semalam, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini meneruskan pendedahannya dan mendakwa seorang peniaga mengeluarkan RM43 juta yang didakwa berasal daripada SRC International Sdn Bhd (SRC).

Menurut beliau, wang berkenaan dikeluarkan dalam tempoh 3 minggu antara 24 Disember 2014 hingga 20 Januari 2015.

“Saya yakin dia terima arahan,” kata Rafizi pada sidang media di pejabat Invoke hari ini.

Rafizi kemudiannya menampilkan 2 gambar rajah menerangkan bagaimana wang tersebut mengalir daripada bekas anak syarikat 1MDB itu ke akaun syarikat milikan tunggal (enterprise) milik seorang “individu”.

Gambar rajah pertama menceritakan mengenai siri transaksi yang berlaku antara 24 Disember hingga 31 Disember 2014.

Ia menunjukkan SRC memindahkan RM40 juta kepada sebuah syarikat Sdn Bhd (syarikat A), yang menyalurkan wang itu ke syarikat Sdn Bhd (syarikat B).

Syarikat B kemudiannya menyalurkan RM8 juta ke akaun milik sebuah syarikat milikan tunggal (syarikat C), milik “individu” yang dinamakan itu.

“Individu” itu kemudian menunaikan RM8 juta berkenaan pada 31 Disember 2014, dengan mengeluarkan 16 cek RM500,000 untuk dirinya.

Gambar rajah kedua pula menceritakan mengenai siri transaksi yang berlaku antara 9 Januari 2015 hingga 20 Januari 2015.

Ia menunjukkan SRC memindahkan RM39.7 juta ke syarikat A pada 9 Januari 2015.

Pada hari yang sama syarikat A menyalurkan RM40 juta ke syarikat B, yang 4 hari kemudian mengeluarkan 7 cek RM5 juta kepada “individu” itu.

Antara 15 Januari hingga 20 Januari pula, “individu” itu menunaikan semua wang itu, mencecah RM35 juta, dengan mengeluarkan 69 cek untuk dirinya.

“Bayangkan, saya tak tau macam mana, dia bawa lori ke bas ke nak bawa keluar RM35 juta tunai,” kata Rafizi.

Rafizi mempersoalkan mengapa transaksi membabitkan wang sebesar itu boleh berlaku tanpa tindakan daripada Bank Negara Malaysia.

Malah, semua transaksi itu berlaku selepas tempoh pendaftaran syarikat C dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terluput pada 6 November 2014.

“Kenapa Bank Negara tidak mendakwa ‘individu’ ini atas kesalahan pengubahan wang haram, kerana tindakan beliau mengendalikan RM43 juta secara tunai dalam tempoh 3 minggu sudah tentu disedari oleh Bank Negara seawal Januari 2015 semasa cek-cek itu ditunaikan,” kata Rafizi.

Mengulas lanjut, Rafizi memberitahu pemberita “individu” berkenaan pernah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama 4 hari pada 21 Julai, dalam siasatan ke atas SRC.

“Saya yakin keterangan beliau boleh menjawab kenapa jumlah yang besar itu perlu diuruskan secara tunai? apa keperluan seorang peniaga kecil seperti beliau memegang RM43 juta secara tunai, dan sebenarnya siapakah yang telah menerima bayaran-bayaran tunai daripada jumlah RM43 juta wang rakyat itu?” kata Rafizi.

Semalam, Rafizi menamakan 3 pihak yang didakwa menerima wang berkait 1MDB daripada akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Beliau mahu pendedahan itu mendesak SPRM membuka semula siasatan terhadap Najib.

Hari ini, Rafizi berkata beliau akan membuat laporan baru kepada Bank Negara minggu depan, agar kes pengubahan wang haram melibatkan “individu” itu dibuka dan didakwa.

“Hanya dengan mendakwa ‘individu’ itu barulah kita tahu siapa yang menerima RM43 juta itu, dan untuk siapa dia mengendalikan wang tunai sebanyak itu dalam tempoh 3 minggu itu,” katanya.

Pada 2015, dokumen siasatan SPRM yang dipetik The Wall Street Journal mendedahkan sejumlah RM2.6 bilion mengalir masuk daripada akaun dan entiti berkait 1MDB ke akaun peribadi milik Najib pada 2013.

Najib bagaimanapun berkata wang tersebut merupakan derma keluarga diraja Arab Saudi kepada Umno untuk menjalankan kempen pilihan raya umum tahun itu.

Siasatan pasukan khas, melibatkan Bank Negara, polis, SPRM dan Pejabat Peguam Negara, tamat selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada salah laku.

Tiada ulasan: