"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selepas muktamar, musuh PAS bertambah

Faiz Zainudin
PETALING JAYA: Muktamar PAS kali ke-63 yang berakhir Isnin lalu meninggalkan 1001 pertanyaan.

Pembukaannya menyaksikan maki hamun pihak lawan, antaranya “jahanam PAN”. PAS merujuk parti serpihan PAS, Amanah.

Serangan juga dihalakan terhadap DAP, PKR, Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), di samping musuh tradisi Umno dan Barisan Nasional (BN).

Boleh dikatakanm PAS dan “maki hamun” tidak boleh dipisahkan pada muktamar yang diadakan di Alor Setar itu.

Walaupun dikecam pihak luar yang menganggap ia menunjukkan PAS ekstrem, pemimpin PAS masih menganggap muktamar kali ini paling aman kerana tidak ada lagi kumpulan “cai” dalam jemaah itu, seperti mana 2015.

Seperti dijangka, keputusan Pemilihan Jawatankuasa Kerja PAS bagi penggal 2017-2019 menyaksikan lebih 90% muka lama kekal menerajui kepimpinan parti itu.

Jangkaan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub bahawa PAS kini berdepan dengan krisis perpecahan ekoran kerjasama dan hubungan baik dengan Umno, dan ia diterjemahkan dalam pemilihan kali ini, terbukti meleset.

Barisan kepimpinan PAS yang baharu bakal menjadi calon pilihan raya umum ke-14 nanti.

Sehaluan dengan cita-cita PAS yang mensasarkan hanya 5 negeri, rata-rata majoriti pucuk pimpinan mewakili negeri teserbut: Kelantan, Terangganu, Perak, Kedah dan Selangor.

Usul cerai dengan PKR

Seperti yang dijangka, isu putus hubungan dengan PKR menjadi topik paling hangat dalam persidanan muktamar kali ini, apabila PAS ia meluluskan usul “cerai talak tiga dengan PKR” selepas 18 tahun bersama.

Sejak hari pertama muktamar menyaksikan kelantangan Dewan Ulama dan Dewan Pemuda PAS menggesa agar proses “penceraian” dipercepatkan sebelum ia secara rasmi dilulus muktamar PAS Pusat untuk diputuskan Majlis Syura secara muktamad.

Dengan menyerahkan kepada Majlis Syura sebagai pembuat keputusan muktamad, ia menimbulkan persoalan sama ada keputusan Majlis Syura lebih penting daripada muktamar.

Ini kerana, secara teknikalnya, PAS sudah menjatuhkan cerai talak tiga ke atas PKR selepas usul itu diterima sebulat suara pada sesi perbahasan.

Sekiranya muktamar sebulat suara bersetuju, maka secara dasarnya keputusan itu akan diterima Majlis Syura. Sudah boleh disimpulkan hubungan PAS dan PKR berakhir.

Memandangkan proses penceraian PAS-PKR hanya menunggu keputusan rasmi Majlis Syura, timbul lagi satu persoalan tentang kedudukan PAS dalam kerajaan Selangor.

Adakah exco PAS sanggup melepaskan jawatan sebagai tanda kesetiaan kepada parti atau menyertai Amanah untuk mengekalkan jawatan yang disandang.

Segala percubaan mendapatkan komen Pesuruhjaya PAS Selangor, yang juga exco Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, gagal.

Sekiranya usul putus hubungan dengan PKR direstui Majlis Syura secara rasmi, maka PAS berhadapan 2 musuh utama politik, di satu pihak Barisan Nasional (BN), di satu pihak lagi Pakatan Harapan (PH).

Beberapa jam selesai muktamar di Kedah, Presiden Amanah, Mohamad Sabu berada di Kota Bharu, menyerang pemimpin PAS dan gaya hidup mereka.

“Kita melihat kelainan setahun dua tahun sebelum 2015. Kita melihat pimpinan yang baru wakil rakyat sepenggal, tetapi hidupnya begitu mewah. Boleh pergi London naik kapal terbang business class, duduk di hotel, kalau di Indonesia, hotel 5 atau 6 bintang,” kata Mat Sabu.

Serangan sebegini dijangka akan lebih banyak berlaku, tetapi bagaimana pemimpin PAS yang mempunyai hampir sejuta ahli menepis dan mendepaninya belum diketahui.

Tiada ulasan: