"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH lebih peluang tarik undi Melayu banding Pas

MALAYSIA DATELINE
Datuk Mahfuz Omar Pakatan Harapan dijangka mempunyai peluang lebih besar untuk menarik pengundi Melayu dalam Pilihan Raya Umum akan datang berbanding Pas yang kini berjuangan bersendirian tanpa menyertai gabungan parti dalam Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, pengundi tidak akan mengambil risiko untuk mengundi Pas kerana parti itu tidak boleh mengubah keadaan dan keyakinan rakyat untuk memilih parti yang dilihat dari sudut keterbukaan untuk menjalinkan kerjasama sebagaimana Pakatan Harapan.

" Hari ini Pas dilihat memencilkan diri daripada arus perdana politik. Pas bukan dipencilkan oleh Pakatan Harapan atau rakyat sebaliknya Pas sudah memberikan isyarat kepada rakyat Pas terpelusok di satu sudut yang akhirnya orang tidak lagi melihat Pas sebagai parti yang harus diberi peluang pada PRU akan datang.

"Pas juga cuba membina keyakinan sokongan undi melayu bukan kepada bukan Melayu.

"Dengan memutuskan hubungan dengan PKR dan DAP - sudah tentu ini satu kesilapan Pas kerana undi Melayu mana yang akan diberikan kepada Pas kecuali undi tegar ahli Pas yang sudah tentu tidak dapat memberikan kemenangan kepada parti itu dalam PRU akan datang," ujarnya dalam satu temubual bersama pihak media yang diadakan semalam di Alor Setar.

Bekas naib presiden Pas ini juga berkata, dalam PRU-14 undi orang Melayu telah berpecah kepada sokongan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

"Jika Pas mahu undi Melayu dari Umno... mereka sudah ada Bersatu dan undi Melayu dalam Pas pula sudah lari pada Bersatu dan Amanah dan ini sebenarnya memberi kerugian besar pada Pas jika mereka terus memencilkan diri dan tidak berada di arus perdana politik pembangkang," ujarnya.

Mahfuz turut melahirkan rasa terkilannya kerana beliau mengharapkan Pas akan kembali kepada arus perdana.

"Saya agak sedih kerana saya harap Pas akan kembali pada arus perdana politik negara tetapi sayang Pas ambil jalan memencilkan diri," ujarnya.

Ditanya mengenai fokus beliau terhadap parti itu, Mahfuz berkata beliau bukan sahaja mahu menyedarkan pimpinan Pas tetapi kini tertumpu kepada ahli Pas untuk terus menyokong Pakatan Harapan agar memastikan gabungan parti yang kini disertai PKR, DAP, Amanah dan Bersatu itu menang PRU-14 kelak.

"Saya yakin walaupun menghadapi tiga penjuru Pakatan Harapan akan menang PRU akan datang," ujarnya.

Tiada ulasan: