"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelajar perempuan diarah buang coli sebelum ujian

NEW DELHI - INDIA. Seorang pelajar perempuan di India mendakwa dia diminta menanggalkan coli di khalayak ramai oleh pihak sekolah yang bimbang penipuan dalam peperiksaan, beberapa minit sebelum menduduki ujian penting, lapor AFP.

Pihak berkuasa mengeluarkan arahan ketat berkaitan kod pakaian untuk menangani penipuan sebelum menduduki ujian kemasukan kolej perubatan terkemuka India.

Namun, peraturan itu tidak menyebut coli dalam senarai pakaian dilarang tahun ini yang merangkumi pakaian gelap, lengan penjang, kerongsang, lencana, kasut tertutup dan stokin.

Pelajar yang tidak didedahkan identiti memberitahu media, dia berada di pusat peperiksaan di Kerala pada Ahad apabila pengesan logam berbunyi ketika dia melalui pemeriksaan keselamatan untuk memasuki ujian.

"Ketika itu, mereka memberitahu, saya tidak akan dibenarkan memasuki dewan peperiksaan jika tidak menanggalkan pakaian dalam dan memandangkan cangkuk coli diperbuat dari logam, saya menangalkannya dan memberikan kepada ibu yang sedang menunggu di luar," kata pelajar itu memberitahu NDTV News Network.

Gadis itu dipetik The Times of India sebagai berkata, dia hilang keyakinan dan berasa tidak tenang selepas diminta menanggalkan coli di depan orang ramai.

Sementara itu, ibu bapa pelajar lain turut mendakwa, anak perempuan mereka turut diminta membuang butang pada seluar jeans selepas dikesan alat pengesan logam.

"Dia kembali kepada saya dan memberitahu, butang seluarnya perlu dibuang kerana dikesan alat pengesan logam. Saya segera membuangnya.

"Saya kemudian pergi ke kedai kira-kira tiga kilometer dari pusat peperiksaan dan membeli pakaian baru untuknya selepas kedai dibuka," kata bapa itu kepada NDTV.

Dalam pada itu, pengetua sekolah berkata, pihaknya tidak mengetahui mengenai insiden berkenaan namun mengakui sekolah tersebut tertakluk kepada peratuan yang ditetapkan.

"Kami mempunyai arahan jelas iaitu jika pengesan logam mengeluarkan bunyi, tiada siapa yang dibenarkan masuk ke dewan peperiksaan dan pelajar diminta untuk membuang apa sahaja yang dimiliki," kata Jalaluddin K.

Menipu di dalam peperiksaan adalah perkara biasa di India malah ada yang sanggup memberi rasuah untuk membeli kertas ujian.
-

Tiada ulasan: