"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ada individu berlegar-legar sebelum tahfiz terbakar - Rakaman CCTV premis PPIM

Nabihah Hamid
Ada individu berlegar-legar sebelum tahfiz terbakar, dakwa PPIM
Ada individu berlegar-legar sebelum tahfiz terbakar, dakwa PPIMRakaman CCTV premis PPIM bersebelahan pusat tahfiz terbabit menunjukkan beberapa individu mencurigakan berlegar-legar di hadapan pusat tahfiz terbabit sejak malam sebelum tragedi itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 September, 2017.

ADA beberapa individu yang kelihatan mencurigakan berlegar-legar dekat kawasan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada malam sebelum kebakaran menjelang Subuh yang membunuh 23 nyawa itu, kata Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Pengerusi PPIM, Nadzim Johan merujuk pada imej yang dirakamkan oleh sistem kamera litar tertutup di pejabat persatuan itu yang terletak bersebelahan dengan pusat tahfiz berkenaan.

“Orang kata (kejadian) ada kaitan dengan aktiviti PPIM yang mungkin orang nak balas dendam. Kita tidak berfikiran ke arah itu tetapi tiada yang mustahil. Kita tidak tahu," katanya kepada media hari ini.

Jelas Nadzim, pihaknya telah bekerjasama dengan polis untuk meneliti rakaman daripada 20 CCTV yang ada di sekitar bangunannya.


Sementara itu, aktivis PPIM Muhamad Zharif Johor yang menguruskan pejabat tersebut berharap maklumat daripada rakaman CCTV dapat membantu pihak polis menjalankan siasatan.

"Kawasan ini kawasan taman dalam antara pukul 7 petang itu memang ada individu-individu yang berlegar.

"Tetapi maklumat itu masih pada polis dan polis yang meneliti maklumat itu. Maksudnya kalaulah ada berlaku kejadian mungkin kita akan dapat suspeknya.

"Sebab CCTV kita boleh nampak pintu depan tahfiz. Jadi diharap ada sebarang petunjuk sekiranya berlaku kejadian khianat," katanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman sebelum ini tidak menolak kemungkinan ada unsur khianat dalam kebakaran semalam, berdasarkan cara api marak terlalu pantas.

Katanya, keamatan api dalam kejadian itu tidak mungkin berpunca daripada litar pintas.

“Ia bukan berpunca daripada litar pintas Sekiranya memang daripada litar pintas, ia memerlukan 30 minit untuk menjadi marak,” katanya dan menambah, api marak terlalu cepat.

Dalam pada itu, Nadzim turut menggesa satu akta khas diwujudkan bagi mengawal insitusi pengajian tahfiz di seluruh negara.

"Adakah ia perlu berlaku. Kita tidak tuding jari. Siapa yang nak ambil tanggungjawab sebenarnya. Kalau kita yang cuai maknanya kita yang mengundang takdir.

"Kerajaan perlu serius. Sama ada bawah Jakim atau Kementerian Pendidikan. Kita ingin mendesak kerajaan adakan satu akta untuk mengawal pusat tahfiz," katanya lagi.

Beliau mendakwa lebih 10,000 pusat tahfiz yang beroperasi di seluruh negara. – 15 September, 2017.

---------
Polis tahan seorang individu, tunggu laporan forensik kebakaran sekolah tahfiz
Muzliza Mustafa

Polis tahan seorang individu, tunggu laporan forensik kebakaran sekolah tahfiz
Mohamad Fuzi Harun berkata, polis masih belum dapat mengesahkan sama ada kebakaran itu berpunca daripada perbuatan jenayah. – Gambar PDRM, 15 September, 2017.

POLIS menahan seorang individu bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat Kuala Lumpur yang meragut 23 nyawa, pada Khamis.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata, bagaimanapun pihaknya masih belum dapat mengesahkan sama ada kebakaran itu berpunca daripada perbuatan jenayah dan masih menunggu laporan forensik untuk membantu siasatan.

“Setakat ini kami masih tidak pasti. Kami melihat dari semua sudut berhubung isu ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada lawatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhamad V malam ini.

Beliau turut menggesa kepada masyarakat awam untuk memberi masa kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.


“Beri kami masa, kami perlukan laporan forensik dan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya.

Harian Metro melaporkan, polis membawa seorang individu ke lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

Polis sebelum ini bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya berhubung perkara itu.

Polis turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada bangunan bersebelahan pusat tahfiz terbabit berikutan terdapat maklumat beberapa individu mencurigakan dilihat berlegar di hadapan pusat tahfiz itu kira-kira jam 7 malam Rabu.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini mendedahkan terdapat beberapa individu mencurigakan dilihat berlegar-legar di kawasan premis bersebelahan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah sebelum kejadian itu.

Ini berdasarkan rakaman CCTV daripada pejabat PPIM yang terletak bersebelahan pusat tahfiz terbabit.

Bagaimanapun, PPIM berkata sukar untuk menguraikan rakaman berkenaan kerana ia di kawasan perumahan, motif individu yang berlegar itu tidak jelas. – 15 September, 2017.

Tiada ulasan: