"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Laporan: Pintu asrama tahfiz dikunci sebelum api dinyala

Lima suspek ditahan polis hari ini berhubung siasatan kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Dato Keramat, Kuala Lumpur yang mengorbankan lebih 20 orang kelmarin.

Mereka berusia antara 16 hingga 18 tahun dipercayai tinggal di kawasan berhampiran.

Laporan BH Online menyatakan tiga pelajar tahfiz itu diambil keterangannya bagi membantu siasatan.

Memetik sumber, portal itu menyatakan penahanan itu dibuat hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah stesen minyak di Jalan Dato Keramat.

"Dalam rakaman itu terdapat kelibat dua lelaki menaiki motosikal membeli minyak petrol jam 1.30 pagi, beberapa jam sebelum kebakaran pusat tahfiz berkenaan.

"Mereka dipercayai menggunakan minyak petrol itu untuk membakar pusat tahfiz berkenaan," katanya.

BH Online melaporkan suspek dipercayai menceroboh masuk pusat tahfiz terbabit membawa tong gas, tilam ke tingkat tiga.

"Mereka juga dipercayai mengunci pintu bilik asrama sebelum meletakkan tilam dan menghalakan muncung tong gas ke arah pintu bilik asrama pelajar dan guru sebelum membakar minyak petrol," katanya.

Difahamkan kejadian berkenaan tercetus daripada perselisihan faham dan ejek-mengejak sekumpulan remaja dengan pelajar tahfiz berkenaan.

Sementara itu memetik kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur agensi berita Bernama melaporkan tujuh remaja ditahan setakat ini.

Dalam kejadian awal pagi 14 September itu 21 pelajar dan dua guru tahfiz meninggal dunia dan sejumlah yang lain cedera apabila sebahagian daripada bangunan Darul Quran Ittifaqiyah terbakar.

Pada awalnya pihak berkuasa menjangkakan insiden itu berpunca daripada litar pintas namun siasatan lanjut mendapati wujud unsur khianat di sebaliknya.

Ia adalah kejadian kedua terburuk membabitkan pusat pengajian Islam di negara ini selepas kebakaran bangunan asrama perempuan Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah dijilat api di Padang Lumat, Yan di Kedah pada Pada 22 September 1989.

Insiden malang itu mengorbankan nyawa 27 pelajar.

Ikuti laporan langsung Malaysiakni dari Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur ini.

Tiada ulasan: