"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahfuz mahu bertanding atas tiket Harapan

ATIRAH HASLI 
KUALA LUMPUR - Datuk Mahfuz Omar mengesahkan akan menolak sekiranya Pas menawarkan beliau untuk bertanding di mana-mana kerusi pada PRU akan datang.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, beliau juga tidak kisah sekiranya Pas menempatkan calon lain menggantikannya di kawasannya.

Katanya, sebaliknya beliau lebih berminat untuk bertanding dalam PRU kelak dengan menggunakan tiket Pakatan Harapan (Harapan).

"Bukan Amanah, bukan Bersatu, sebaliknya saya lebih suka bertanding atas tiket Pakatan.

"Kalau Pas tawarkan saya mana-mana kerusi untuk bertanding sekalipun saya tak ingin, kerana keadaan Pas sekarang yang tidak mungkin diterima oleh masyarakat," katanya kepada Sinar Online.

Beliau berkata, bagaimanapun Mahfuz menambah, beliau akan membuat pertimbangan sekiranya terdapat desakan daripada rakan-rakan dan penyokongnya.

"Apa yang pasti, saya tidak mahu bertanding dengan membawa pendirian Pas kerana ia tidak akan dapat meraih undi daripada rakyat," katanya.

Mengulas mengenai hubungan 'mesra' dengan Amanah, Mahfuz berkata, beliau tidak mungkin dapat memutuskan silaturahim antara rakan seperjuangan yang pernah berjuang di bawah satu 'bumbung' suatu ketika dahulu.

"Sepertimana saya menjaga hubungan dengan rakan-rakan Pas, saya juga masih menjaga hubungan dengan sahabat-sahabat saya di Amanah.

"Saya hadir di majlis mereka selama ini pun atas dasar jemputan. Sesiapa sahaja yang jemput, saya akan pergi. Malah saya juga pernah hadir di Pelancaran Bersatu di Stadium Melawati, Shah Alam, baru-baru ini," katanya.

Tiada ulasan: