"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki ugut bunuh ibu bapa bekas teman wanita dipenjara

Bernama
KUALA LUMPUR: Tindakan seorang duda anak satu mengugut membunuh ibu bapa bekas teman wanitanya kerana menghalangnya bertemu wanita itu membawa padah apabila dipenjara 6 bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas S.Munesh Kumar, 36, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap R. Malathi, 55, dengan mengeluarkan kata-kata “hari ini rumah kamu akan ada mayat dan saya akan bunuh suami awak,” di rumah mangsa di Taman Mulia, Ampang pada 4.00 petang 18 April lepas.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 15 Mei lepas.

Penjual kereta itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh mahu berjumpa dengan bekas teman wanitanya sebaik mengetahui wanita itu yang belajar di sebuah universiti di Medan, Indonesia dalam jurusan pergigian telah pulang bercuti di Malaysia.

Namun keluarga bekas teman wanitanya itu tidak membenarkan tertuduh berjumpa dengan anak mereka lalu tertuduh pergi ke rumah wanita itu serta mengugut untuk membunuh ibu dan bapanya.

Ketika rayuan tertuduh diwakili peguam Kelvinder Singh Sidhu memohon maaf kepada mahkamah dan merayu hukuman penjara minimum dengan alasan anak guamnya menyesal, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon hukuman penjara setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh yang melakukan kesalahan serius kerana membuat ugutan yang boleh mendatangkan kematian.

Tiada ulasan: