"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sah Mahfuz Omar kini penyokongan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Tak perlu keluar PAS untuk sokong HARAPAN - Mahfuz

Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata mana-mana ahli PAS termasuk dirinya tidak perlu keluar daripada parti parti Islam itu bagi menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).

Mahfuz berkata PAS kini dilihat bukan sebuah parti bersama rakyat yang ingin merubah negara kerana hanya mahu bertanding di 40 buah kerusi sahaja pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU).

“Tak keluar parti untuk beri sokongan padu pada HARAPAN sebab HARAPAN sahaja yang tunjuk komitmen untuk perubahan politik dan tidak pada gagasan sejahtera yang diketuai oleh PAS.

“Sebabnya PAS semalam nak sasar 40 kerusi (pada PRU14), jadi PAS tak tunjuk ambil alih, nak ambil kuasa dari BN, ia tak tunjuk komitmen PAS nak ubah masalah kos sara hidup.

“Rakyat terbeban kerana PAS tak sedia ambil kuasa, kita tak kena beri sokongan tanpa keluar parti untuk ambil alih kuasa politik nak selesaikan masalah rakyat,” katanya kepada pemberita ketika sesi rehat di Konvensyen Nasional 2017 Parti Amanah Negara (AMANAH) di Alor Setar hari ini.

Mahfuz hadir di majlis AMANAH itu bersama tiga lagi pemimpin PAS iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit), Mohd Nasir Mustafa (Kubang Rotan) serta ADUN Batu Burok, Dr Syed Azman.

Mereka sejak akhir-akhir ini dilihat mesra AMANAH dan sering menghadiri program anjuran HARAPAN.

Mengulas lanjut mengenai kehadirannya hari ini, katanya beliau menerima jemputan daripada AMANAH dan kehadirannya bagi menunjukkan sokongan kepada HARAPAN.

“Saya sebagai rakan lama saya berjuang dulu meraikan mereka, memenuhi jemputan tersebut dari salah satu parti pembangkang di negara kita. AMANAH tunjuk komitmen tinggi bersama HARAPAN untuk memastikan kuasa politik dalam negara kita berhadapan PRU depan,” katanya.

Beliau turut menolak bahawa PAS akan mengambil tindakan ke atasnya sekiranya parti Islam itu mengamalkan politik matang.

“Dalam politik matang saya kira PAS tidak akan mengabil tindakan kepada saya. Dalam politik baru kena bina keterbukaan. Mana-mana ahli politik boleh pergi ke majlis politik, tak jadi kesalahan kerana kita kena dokong politik lebih terbuka,” katanya.

Bertemakan ‘Menjunjung Amanah Rakyat’ acara tahunan kali kedua itu diadakan di Alor Setar.

Kesemua pemimpin utama HARAPAN turut hadir antaranya Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden BERSATUu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha DAP Lim Guan Eng.

Turut hadir wakil Ikram Malaysia, ABIM, Parti Keadilan Sejahtera dan wakil ahli parlimen Sri Lanka.

Konvensyen disertai seramai 898 perwakilan dari seluruh negara.

-----------------

Bye-bye, Mahfuz bukan lagi calon Pokok Sena – PAS Kedah

PAS Kedah sudah mempunyai calonnya sendiri di kerusi parlimen Pokok Sena dan ia bukanlah Datuk Mahfuz Omar bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata Mahfuz kini dilihat cenderung bersama Pakatan Harapan (HARAPAN) menyebabkan pihaknya sudah mengisi calon sesuai di Pokok Sena.

“Kalau dia (Mahfuz) dah bersama HARAPAN takkan dia nak jadi calon PAS, tak mungkin. Saya boleh sahkan dia tak ada dalam senarai calon (PAS), untuk PRU depan dia tidak ada, dia boleh cari platform lain.

“Kita ada kepimpinan PAS Pokok Sena yang bersama PAS. Dalam PAS, kita tak menghormati pemimpin atas kapasiti individu, kita patuh dia sebab pemimpin PAS.

“Selepas dia (Mahfuz) isytihar secara zahir atau tidak tinggalkan PAS jadi kita ucap bye bye lah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Kompleks PAS, Sarang Semut, Kedah.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kehadiran Mahfuz dan tiga pemimpin PAS pada Konvensyen Nasional 2017 Parti Amanah Negara (AMANAH) di Alor Setar hari ini.

Muhammad ketika ditanya adakah sebarang tindakan akan diambil terhadap Mahfuz berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada PAS Pusat.

“Bergantung PAS Pusat. Orang macam ni tak perlu tindakan apa-apa. Orang PAS tak rasa apa-apa. Kita tak bincang pun, (Mahfuz) bukan berita lah,” katanya.

Tambahnya lagi, sejak Mahfuz mesra HARAPAN, bekas Naib Presiden PAS itu tidak lagi mempunyai pengikut.

Sementara itu, Muhammad ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi PAS untuk PRU ke-14 di Kedah berkata pihaknya akan bertanding di semua 36 Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 kerusi parlimen.

“PAS berada top form nak rampas Kedah dari BN dan kita akan menghadapi semua kerusi. Kalau HARAPAN nak masuk silakan, kita bertandinglah tiga atau empat penjuru,” katanya yang menambah senarai calon sudah dihantar kepada PAS Pusat.

Ditanya mengenai calon menteri besar Kedah sekiranya PAS memenangi PRU ke-14, beliau berkata:

“PAS Pusat akan tentukan calon menteri besar. Semua orang PAS dan PAS nak orang dia jadi menteri besar. Dalam gabungan Gagasan Sejahtera, bila sampai waktu tu kita akan bincangkan,” katanya.

Perubahan kuasa politik

Mahfuz sebelum ini berkata, HARAPAN menunjukkan komitmen untuk perubahan politik, tidak seperti Gagasan Sejahtera PAS.

Ketika dihubungi untuk merespons kenyataan Muhammad Sanusi, Mahfuz menegaskan beliau tidak akan meninggalkan parti itu.

"Saya nak beri mesej kepada ahli PAS yang mereka tak perlu keluar PAS menyertai parti-parti HARAPAN, tapi yang penting mereka sokong HARAPAN," katanya kepada Malaysiakini.

Mahfuz juga berkata, tidak penting jika dia dicalonkan atau tidak dalam PRU ke-14.

"Matlamat perjuangan saya bukan menjadi calon tetapi memastikan perubahan kuasa politik negara," katanya

Mahfuz dilihat dipinggirkan dalam PAS sejak parti itu berpecah dari pakatan pembangkang pada 2015.

Anggota Parlimen Pokok Sena itu juga tidak dijemput dalam muktamar PAS tahun ini yang diadakan di Kedah.
-malaysiakini

Tiada ulasan: