"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Akhirnya Mahfuz umum sertai Amanah

Yasmin Ramlan

Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar berkata beliau kini bersedia untuk membawa perubahan bersama PH sebagai ahli Amanah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2018.

SELEPAS 45 hari keluar daripada PAS, Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar hari ini mengumumkan keputusannya untuk menyertai parti serpihan PAS iaitu Amanah.

Mahfuz yang pernah bersama PAS selama 34 tahun berkata penyertaannya yang berkuatkuasa hari ini berkata beliau sudah bersedia untuk membawa perubahan bersama Pakatan Harapan (PH).

"Saya kini mengumumkan tamatnya sebagai ahli politik bebas tanpa parti.

"Saya umumkan untuk sertai Parti Amanah Negara dan putuskan untuk bersama dengan rakan-rakan PH untuk bawa perubahan di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika jamuan makan tengah hari bersama media dan pemimpin PH yang lain di bangunan Parlimen hari ini.

Pada 31 Disember lepas beliau mengumumkan keluar daripada PAS kerana dikatakan tidak sehaluan dengan kepimpinan parti.

Turut mengikut jejak langkahnya hari ini ialah bekas AJK PAS Pusat Dr Rosli Yaakop yang juga pengurus bekas pengarah urusan akhbar lidah rasmi PAS, Harakah.

"Setelah meninggalkan PAS dalam menentukan politik kuasa, PAS ternyata jadi tongkat Umno-BN yang kekal berkuasa daripada kepimpinan PAS untuk jadi 'kingmaker' dan nak memerintah serta sasarkan 40 kerusi," katanya.

Beliau juga sebelum ini, secara terbuka melobi PAS untuk bekerjasama PH.

Antara pemimpin PH yang hadir di situ merupakan Mujahaid Yusof Rawa, Hatta Ramli, Mohamad Sabu, Salehuddin Ayob, Khalid Samad, Teresa Kok, Lim Lip Eng, Nurul Izzah Anwar, Johari Abdul Ghani dan Wong Chen.

Keputusan untuk keluar parti Islam itu dikatakan berikutan tekanan daripada penyokong akar umbinya, memandangkan dalam menyokong pakatan PAS-PH, beliau sering menentang pimpinan partinya, sehingga mencetuskan kemarahan pimpinan PAS yang mahukannya keluar.

Mahfuz dianggap sebagai antara yang terakhir dalam kalangan pemimpin PAS progresif dan ahli yang meninggalkan parti pada 2015 selepas berlaku pertikaian dalaman.

Mohamad yang juga bekas timbalan presiden PAS bersama ahli Parlimen lain meninggalkan parti itu pada 2015 dan menubuhkan Amanah.

Amanah ialah salah satu daripada parti dalam pakatan pembangkang termasuk PKR, DAP dan Bersatu.

Selepas muktamarnya tahun ini, PAS mengumumkan untuk menubuhkan pakatan pembangkang kedua yang dipanggil Gagasan Sejahtera Rakyat.

Pakatan itu akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 menentang PH dan pakatan pemerintah Barisan Nasional.

Sejak penubuhan Bersatu pada 2016, tersebar khabar angin yang mengatakan Mahfuz akan menyertai parti Melayu yang juga sebahagian daripada PH itu.

Ini berikutan beliau dilihat kerap hadir pada majlis Bersatu dan secara terbuka menyokong timbalan presiden Bersatu dan bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir.

Mahfuz turut menyokong Mukhriz ketika beliau digugurkan sebagai menteri besar Kedah di bawah kerajaan negeri sekarang pada 2014.

Pada November, seorang lagi pemimpin pro PH Kedah, Amiruddin Hamzah meninggalkan PAS dan menyertai Bersatu.

Amiruddin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Anak Bukit berkata, beliau memutuskan untuk meninggalkan PAS selepas parti itu berkata mustahil untuk bekerjasama dengan PH.

Tiada ulasan: