"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno Johor gusar dengan ‘tsunami Melayu’

AMNI JAGAT
Kenyataan menteri besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menolak kemungkinan Pakatan Harapan (PH) akan membentuk kerajaan di negeri itu selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang menggambarkan kegusaran Umno-BN terhadap ‘tsunami Melayu’ di negeri tersebut.

Bekas Naib Ketua Bahagian Umno Pasir Gudang Ahmad Daud berkata, bagi menolak hasil tinjauan Invoke Malaysia (Invoke) itu, Umno Johor telah melakukan tinjauan melalui Umno cawangan.

“(Setiap) cawangan (Umno) diberi RM1,000 untuk mendapatkan maklum balas daripada responden. Seorang ahli cawangan akan mendapatkan maklum balas daripada 30 orang,” ujar Ahmad.

Beliau bagaimanapun meragui dapatan tinjauan daripada Umno cawangan kerana besar kemungkinan pemimpin-pemimpin Umno cawangan akan memberikan maklumat kurang tepat bagi ‘menjaga hati’ pemimpin Umno negeri.

“Ahli Umno sendiri hari ini sudah ramai yang berpaling tadah menyokong PH. Penafian boleh dibuat oleh Khaled namun hakikatnya adalah pada PRU14 akan datang,” ujar Ahmad.

Menurut beliau, jika Khaled tidak yakin dengan faktor ‘tsunami Melayu’ seperti hasil kajian Invoke, mengapakah Umno-BN memberikan tumpuan kepada 20 parlimen majoriti Melayu dalam kajian mereka?

“Ini menggambarkan kajian yang dilakukan Invoke adalah jelas dan bukan dusta,” kata Ahmad dalam forum ‘Tsunami Politik Melayu Johor. Realiti @Fantasi’ anjuran Media Oren Johor.

Forum itu boleh diikuti secara langsung di Facebook AMANAH Negeri Johor.

Selain Ahmad, forum untuk turut menampilkan Naib Pengerusi AMANAH Johor Suhaizan Kaiat.

Suhaizan bercakap dalam forum dianjurkan Media Oren yang turut menampilkan Ahmad Daud (kanan).

Suhaizan dalam forum yang sama menjelaskan PH hanya perlu menang sepuluh lagi kerusi Dun dan mengekalkan kerusi Dun yang dimenangi pada PRU lalu untuk mengambil alih pentadbiran negeri.

Beliau turut meragui kredibiliti tinjauan yang dilakukan Umno-BN menerusi Umno cawangan kerana sudah pasti para pemimpin akar umbi Umno akan memberikan maklumat yang menyenangkan hati pemimpin negeri bagi menjaga kepentingan politik mereka.

“Mereka memikirkan peruntukan dan projek, akhirnya memberikan maklumat tidak benar kepada MB Johor.

“Dapatan kajian lapangan daripada cawangan Umno sangat diragui… Umno Johor sudah tidak lagi mampu menahan ‘tsunami politik’ orang Melayu Johor,” ujar Suhaizan.

Khaled yang juga pengerusi BN Johor 11 Mac lalu menganggap hasil kajian dijalankan Invoke sebagai tidak masuk akal kerana metodologi yang digunakan untuk mengukur sokongan pengundi di beberapa negeri didakwa tidak tepat.

Beliau berkata, BN Johor juga menjalankan kajian sikap sejak dua tahun kebelakangan ini dan percaya hasil yang diperoleh akan memberi kejutan kepada Pengasas Invoke, Rafizi Ramli, mengenai sokongan sebenar pengundi di negeri ini.

Beliau berkata, kaedah kajian sikap yang digunakan BN negeri ini lebih tepat dan terperinci yang mana soal selidik lebih menyeluruh dilakukan terhadap seorang responden bagi nisbah 30 penduduk.

“Metodologi Rafizi dalam kajian itu tidak tepat. BN khususnya Umno menjalankan kajian sikap menggunakan satu orang untuk kaji selidik 30 penduduk.

“Mereka diberikan soalan yang tepat dan jelas sama ada menyokong BN atau tidak dan bukan sekali tetapi tiga, empat kali dalam dua tahun kebelakangan ini kita sudah lakukan.

“Kita akan beri kejutan kepada Rafizi,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pusat Pentadbiran Baru Daerah Kulai, 11 Mac lalu.

Sebelum ini, Rafizi mengumumkan hasil kajian Invoke bahawa PH mampu memenangi PRU14 di lima negeri termasuk Kedah, Perak dan Johor selain mengekalkan Selangor dan Pulau Pinang.

Malah, kaji selidik itu turut mendapati Pas gagal memenangi kerusi Parlimen pada PRU-14, selain Kelantan akan dimenangi BN.

Tiada ulasan: