"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wan Saiful mengorak langkah di Parlimen Titiwangsa

Kow Gah Chie

Timbalan Pengarah Dasar dan Strategi BERSATU, Wan Saiful Wan Jan semalam mengadakan tinjauan di pasar malam Kampung Pandan, di bawah kawasan Parlimen Titiwangsa.

Dia bersama 10 pemimpin pemuda Pakatan Harapan mengedarkan risalah yang menjelaskan manifesto parti itu.

Wan Saiful, yang menyertai parti serpihan Umno itu pada 1 Mac, tidak memperkenalkan dirinya kepada peniaga kecil dan pembeli yang ditemui beliau.

Dia hanya menyerahkan risalah tersebut dan berkata, "Ini adalah manifesto Harapan, janji-janji kami. Anda tahu kan nak undi siapa?"

Apabila penerima menunjukkan minat terhadap risalah itu, dia dan kumpulannya menghabiskan lebih banyak masa untuk menjelaskannya kepada mereka.

Bagaimanapun, ada sebilangan yang enggan menerima risalahnya.

Dekat pasar malam ini terletak Cawangan Umno Taman Maluri di mana banyak bendera BN berkibar di situ.

Bercakap kepada Malaysiakini, Wan Saiful berkata keengganan menerima risalah itu adalah sesuatu yang biasa, dan dia menjangka ia akan berlaku.

Bagaimanapun, responnya menunjukkan bahawa rakyat terasa situasi ekonomi yang perlahan, katanya.

"Ada yang mengatakan bahawa mereka terkesan dengan keadaan itu. Seorang peniaga kecil yang menjual tudung terpaksa menjual sayur-sayuran sekarang, kerana kekurangan daya beli.

"Dan, orang ramai telah berkurangan berbanding dengan sebelum ini," katanya.

Wan Saiful dispekulasikan akan diletakkan bertanding di kerusi bandar, termasuk Titiwangsa, satu-satunya kerusi di Kuala Lumpur yang akan ditanding oleh BERSATU.

Bagaimanapun beliau enggan mengesahkan desas-desus itu.

"Titiwangsa adalah tempat tumpuan BERSATU, oleh itu, adalah tanggungjawab kami untuk membantu dalam kempen ini tanpa mengira siapa calonnya," katanya.

BERSATU mempunyai senarai calon yang baik yang mampu membuat kejutan, katanya

Titiwangsa dimenangi oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani pada tahun 2013 dengan hanya 866 undi majoriti.

Tiada ulasan: