"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Simpanan Kurang, Tetapi Harta Ahli Politik PH Banyak

Adam Abu Bakar


PETALING JAYA: Daripada bil mencecah RM8,000, rumah dihadiahkan orang tua sehinggalah karya lukisan bernilai RM12,000, perisytiharan aset baru-baru ini oleh ahli politik Pakatan Harapan (PH) memberi sedikit gambaran mengenai cara hidup mereka.


Perisytiharan harta ahli politik Amanah dan PKR di bawah program Invoke Malaysia, Selasa lalu, adalah siri ke-2 selepas November lalu. Maklumat perisytiharan aset itu menunjukkan pemimpin pembangkang tidak mempunyai banyak wang tunai berbanding hartanah mereka.

Bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin membelanjakan 50% daripada pendapatannya berjumlah RM16,000 untuk membayar bil telefon, internet, air dan elektrik setiap bulan.

Beliau memperoleh RM12,000 daripada khidmatnya sebagai adun Changkat Jering dan RM4,000 melalui pencen menteri besar.

Nizar mempunyai RM35,000 dalam akaun banknya dan aset berjumlah RM638,000 serta hutang sebanyak RM9,000.

Pengarah Strategi Amanah, Dzulkefly Ahmad mempunyai RM50,000 dalam akaun banknya dan aset bersih berjumlah RM1,984,050 dengan hutang sebanyak RM450,000.

Aset Dzulkefly termasuk sebidang tanah yang dibeli daripada bapa mertuanya bernilai RM2 juta, di mana beliau membina sebuah rumah bersama isterinya.

Aset lain termasuk tanah di Rembau dan Kuala Pilah, masing-masing bernilai RM100,000.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil pula mempunyai RM5,000 dalam akaun banknya, tetapi beliau memiliki aset keseluruhan sebanyak RM1,096,000 dan hutang berjumlah RM40,000 daripada pinjaman sebuah kereta dan kad kredit.

Beliau memiliki 2 hartanah yang dihadiahkan ibu bapa dan keluarganya pada 2005 serta 2006, iaitu sebuah pangsapuri di Ampang dan tanah di Trolak, Perak dengan nilai pasaran RM950,000.

Fahmi turut memiliki 3 karya lukisan yang dibelinya pada 2006 hingga 2008 pada harga RM12,000.

Ketua Cabang PKR Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mempunyai RM15,088 dalam akaun banknya dengan aset bersih berjumlah RM588,143.43.

Ia termasuk 4 hartanah dengan nilai pasaran RM520,000, iaitu 2 pangsapuri lelong di Sepang dan Puchong, tanah pertanian dan tanah yang diwarisi daripada bapanya.

Akmal juga mempunyai simpanan di Lembaga Tabung Haji berjumlah RM20,411.90 yang menunjukkan beliau tidak terpengaruh dengan tindakan 3,105 pendeposit Tabung Haji menutup akaun selepas hilang keyakinan ekoran pendedahan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Jumlah hutang yang ditanggung pengarah eksekutif Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) itu ialah RM276,490 daripada pinjaman kenderaan, hartanah dan peribadi.

Sementara itu, Setiausaha Sulit kepada ahli Parlimen Kuala Langat, Datin Faizah Ariffin memiliki aset keseluruhan yang berjumlah RM1,426,000 dengan hutang sebanyak RM760,000.

Faizah turut memiliki 5 hartanah dengan nilai pasaran RM1,370,000, termasuk 2 daripada hartanah itu bernilai RM200,000 yang dibeli bersama bekas suaminya.

Tiga lagi hartanah itu ialah rumah dengan nilai pasaran RM1,370,000 yang dibelinya pada 2001, 2010 dan 2016.

Tiada ulasan: