"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pakatan hidu kejayaan, buka gelanggang di Tanjung Malim

Gan Pei Ling
‎TANJUNG Malim selama ini merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) namun perkembangan terkini menggambarkan bahawa pemimpin tinggi parti itu juga dapat menjangka persaingan lebih sengit akan berlaku di kawasan ini.

Perkara ini dilihat berdasarkan kunjungan Perdana Menteri Najib Razak dan Timbalannnya Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini ke kawasan ini.

Pemimpin pembangkang pula menjangka, peralihan sokongan sebayak 5% sudah memadai untuk membolehkan mereka merampas kerusi tersebut.

Jadi pada malam ini, pemimpin tertinggi Pakatan Harapan termasuk Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Amanah Mohamad Sabu akan mengunjungi kawasan Felda di sini untuk memujuk pengundi untuk memilih pembangkang.

Kerusi ini dipegang oleh BN sejak sekian lama namun majoriti kemenangannya merosot teruk dari 14,693 undi pada 2004 kepada hanya 4,328 undi pada 2013.

Kali ini, ada petanda bahawa jumlah majoriti undi tersebut akan merosot lebih banyak.

Ahli Parlimen Tanjung Malim Ong Ka Chuan yang juga setiausaha agung MCA dan menteri persekutuan, menghadapi pelbagai cabaran dalam untuk mengekalkan kedudukannya di kerusi ini untuk penggal ketiga.

Dalam partinya, pemimpin akar umbi MCA melobi agar beliau digantikan dengan ahli exco yang juga satu-satunya wakil rakyat parti itu di kerusi negeri Perak, Dr Mah Hang Soon.

Di pihak seterunya, calon PKR Chang Lih Kang sudah mula mengatur gerakan sejak 2016, termasuk meraih sokongan di kawasan Felda yang meliputi sebahagian besar Tanjung Malim.

Undi Felda jadi rebutan

PKR berharap kepada kebimbangan peneroka Felda dalam isu kenaikan kos sara hidup dan juga pengaruh Dr Mahathir untuk merampas kawasan ini buat pertama kali.

“Kami cuma perlukan peralihan 5% dari pengundi Melayu untuk menang,” kata Chang kepada The Malaysian Insight.

Beliau menambah, Pakatan Rakyat pada 2013 memenangi lebih satu pertiga daripada undi Melayu, tiga suku daripada undi Cina dan hampir separuh daripada undi India di Tanjung Malim.

Adun Teja selama dua penggal itu berkata, pengundi Felda juga kini semakin mesra dengan partinya.

“Sebelum ini peneroka sangat menentang, mereka akan menyekat kita daripada masuk (ke kawasan Felda) tetapi sekarang mereka lebih mesra. Orang akan ambil kalendar dan poster yang kita edarkan,” kata Chang.

Chang, 38, seorang bekas aktivis Suaram, menawarkan diri untuk bertanding di kubu kuat BN itu kerana komposisi pengundinya mencerminkan populasi Malaysia.

Setakat tahun 2017, seramai 68,634 pengundi Tanjung Malim terdiri daripada 55.5% orang Melayu, 25.6% Cina, 13% India dan 5.86% Orang Asli. Hampir separuh daripada pengundi Melayu merupakan peneroka Felda.

Tiga kerusi negeri dalam kawasan Parlimen Tanjung Malim adalah Slim, Behrang dan Sungkai.

Pada 2008, BN tewas kepada PKR di kerusi Berhrang dan Sungkai pula kepada DAP dengan majoriti kecil, kurang daripada 1,500 undi.

Ia berjaya merampas kerusi Behrang semula dengan majoriti 1,928 undi tetapi kehilangan kerusi Sungkai pula dengan majoriti lebih besar kepada DAP pada 2013.

Daripada tiga kerusi tersebut, hanya Slim yang tidak pernah terlepas dari tangan BN.

Pemimpin tertinggi PH akan mengadakan ceramah dan bertemu pengundi di Felda Gunung Besout, salah satu daripada daerah mengundi dalam kawasan Slim.

Anak peneroka pilih PH?

Ketua Cawangan Umno Gunung Bersout 1, Alias Salion memberitahu The Malaysian Insight, kehidupan di kawasan Felda itu baik saja.

“Kerajaan menyediakan segalanya kepada kami. Sebelum ini kami tiada apa-apa. Apa lagi yang (penyokong pembangkang) mahukan?

“Kami ada anak dari kalangan penerika Felda yang kini menjadi doktor, peguam, jurutera, malah menjadi hakim,” kata Alias.

Sebelum kedatangannya ke tanah rancangan inni, beliau menjalani kehidupan yang melarat di Bagan Serai tanpa sebarang harta.

Kini beliau bersyukur kerana menjalani kehidupan lebih baik yang disediakan oleh Felda untuk diri dan keluarganya.

Mengulas mengenai sentimen tersebut, Chang berkata peneroka Felda juga terbeban dengan kenaikan kos ekoran cukai barang dan perkhidmatan dan pemansuhan subsidi ke atas barang keperluan.

“Kami mendengar pelbagai rungutan dari peneroka. Mereka mengadu Felda lambat membayar untuk hasil tuaian. Sebelum ini, bayaran dibuat dua minggu sekali, sekarang sekali sebulan.

“Ada di antara mereka sanggup menjual buah (sawit) di luar dengan harga lebih rendah kerana dibayar secara tunai. Namun mereka akan didenda bila Felda dapat tahu,” katanya.

Ramai generasi pertama seperti Alias memilih untuk setia bersama BN, namun Chang percaya bahawa generasi lebih muda yang mendapat akses maklumat mengenai skandal membelit agensi Felda dan BN akan mengundi PH.

"Kami perlu meyakinkan mereka untuk balik mengundi,” katanya mengenai pengundi muda yang kebanyakannya bekerja di luar kawasan tersebut.

Tiada ulasan: