"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi jawab Hadi: Kaji selidik dari data 500,000 pengundi

NGO Invoke berkata kaji selidik mengenai keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 yang dijalankannya adalah berdasarkan data terkumpul daripada 500,000 pengundi, sekali gus menolak dakwaan Presiden PAS bahawa ia tidak mencerminkan sentimen akar umbi.

Pengasas NGO itu, Rafizi Ramli berkata, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mungkin tidak memahami kaedah tinjauan yang melibatkan komunikasi dengan individu di lapangan.

"Sudah tentu, kami panggil ia rawak, tapi keputusannya adalah dari lapangan," kata anggota Parlimen PKR Pandan itu kepada Malaysiakini ketika ditemui di Balik Pulau, Pulau Pinang, semalam.

"Apabila kami membentuk Invoke, Pakatan Rakyat telah hancur dan Umno bermasalah, dan kami tidak mempunyai sebarang data untuk menunjukkan bagaimana orang Melayu akan mengundi dalam senario sedemikian.

"Tetapi sekarang, data Invoke yang terkumpul selama satu setengah tahun melibatkan 500,000 pengundi dari pelbagai sektor masyarakat.

"Saya meragui jentera PAS telah meninjau 500,000 pengundi seperti yang kami lakukan," kata Rafizi.

Rafizi diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi semalam yang menolak kaji selidik Invoke yang didakwanya tidak mencerminkan sentimen akar umbi.

Abdul Hadi mendakwa parti itu mempunyai kaji selidik sendiri yang lebih berasas di peringkat akar umbi.

Pemimpin parti Islam itu terdahulu merujuk laporan Malaysiakini Jumaat lalu mengenai kaji selidik Invoke yang dijalankan sehingga Februari melibatkan 2,000 responden.

Kajian itu menyimpulkan HARAPAN bakal memenangi lima negeri, manakala PAS tidak akan memenangi walau satu kerusi parlimen pada PRU14 dan akan tewas kepada BN di Kelantan.

Rafizi berkata tiada sesiapa mempertikaikan hakikat PAS mempunyai sokongan kaum Melayu tetapi senario sekarang berbeza berbanding ketika parti itu menjadi sekutu Pakatan Harapan.

"Sayangnya, PAS bersendirian sekarang dan mereka tidak mempunyai rakan gabungan yang kuat.
"Itulah sebabnya mengapa Hadi mungkin terlepas pandang perkara itu sepenuhnya.

"Dalam pertarungan tiga penjuru menggunakan sistem first past the post, tidak kira betapa kuatnya kamu, sebagai pihak ketiga, sokongan 25 peratus Melayu kepada PAS tidak akan menangkan mereka menentang Pakatan (HARAPAN) atau BN,"katanya.
-malaysiakini

Tiada ulasan: