"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Teknokrat dan aktivis yang sertai PH untuk bersama dengan angin perubahan

Syed Saddiq Abdul Rahman
SAYA teringat kisah Icarus, seorang remaja yang terbang terlalu hampir dengan matahari. Dalam kisah itu, terdapat seorang lagi watak yang menarik iaitu bapa remaja lelaki itu, Daedalus yang merupakan ketua pertukangan. Beliau enggan mengikut Icarus terbang lebih tinggi, lebih dekat dengan matahari.

Ia epilog tentang bagaimana golongan yang mengetahui kebenaran sentiasa berhati-hati untuk menerjah ke kawasan yang berbahaya melainkan mereka mempunyai fakta yang boleh dipercayai untuk mereka sandarkan.

Seminggu lalu, Pakatan Harapan (PH) diberkati dengan berita Wan Saiful Wan Jan menyertai Bersatu dan meninggalkan cetusan emasnya, Ideas di belakang.

Bagi seseorang yang selama ini kerjanya menilai fakta dan kajian memutuskan untuk meninggalkan dunianya di belakang, ia sesuatu yang besar, sesuatu yang berharga dan bernilai untuk diperjuangkan.

Isnin lepas, PH atau secara spesifiknya, Bersatu menerima Dr Maszlee Malik, juga felo Ideas dan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sekarang, PH dirahmati dengan kemasukan Maria Chin yang sanggup mengetepikan aktivisme sivil beliau untuk terjun ke dalam dunia politik. Maria, seorang veteran dalam reformasi pilihan raya percaya bahawa PH pasukan yang boleh membawa reformasi.

Persoalannya mengapa PH menjadi satu titik panas untuk semua teknokrat dan aktivis? Adakah mereka ini gila kuasa? Atau adakah mereka percaya PH jalan untuk perubahan?

Terus terang saya katakan apabila melihatkan media Barisan Nasional (BN) dengan yakin menyatakan sokongan terhadap mereka meningkat dua atau mungkin tiga kali ganda, mengapa tidak ada teknokrat-teknokrat atau aktivis-aktivis yang dikenali umum menyertai perjuangan mereka jika benar-benar mereka ini gila kuasa.

Sejak awal perjuangan lagi, teknokrat seperti Rafizi Ramli sanggup mengetepikan kerusi pejabat empuk beliau untuk berjuang, sanggup dipenjarakan untuk membuka mata rakyat kepada barah rasuah yang makin menebal di negara kita.

Sebuah perjuangan yang kini kita semua kongsi, satu takdir untuk membentuk negara ke arah yang lebih baik.

Rakyat sanggup pulang kembali ke Malaysia untuk sebuah perjuangan. Dr Radzi Jidin, seorang bekas pensyarah forensik perakaunan dari Universiti Tasmania, Australia sanggup menyertai PH, meninggalkan kerja bergaji besar beliau untuk meyakinkan rakyat Kelantan tentang betapa kleptokratiknya kerajaan kita kini.

Sejumlah besar teknokrat dan aktivis telah menyertai PH. Ia bukan satu kebetulan, ia signal harapan bahawa pakatan ini jalan untuk mengubah Malaysia. Satu risiko yang anda sanggup taruhkan walaupun anda punya peluang yang tipis.

Seperti Daedalus yang meninggalkan penjara di Kreta, beliau kekal dengan rancangan serta kepercayaannya dan tidak mengikut Icarus. Teknokrat adalah realis, bukan sang pemimpi. Mereka bukan di sini untuk mengubah pakatan. Mereka di sini untuk menjadi sebahagian daripada perubahan.

Jadi, rakyat Malaysia, teknokrat dan aktivis telah bersuara dan membuat perkiraan taruhan mereka, dengan harapan apabila hari mengundi tiba, anda juga akan membuat langkah yang bijak untuk kebaikan negara kita, Malaysia. 

* Syed Saddiq Abdul Rahman ialah ketua Pemuda Bersatu.

Tiada ulasan: