"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nik Omar pewaris Nik Aziz dalam politik Kelantan?

Zulkifli Sulong
 Nik Omar pewaris Nik Aziz dalam politik Kelantan?
Nama Nik Omar Nik Abdul Aziz disebut-sebut sebagai calon menteri besar untuk parti Amanah, namun masih terhalang untuk menyertai parti dan seterusnya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2018.
NIK Abdul Aziz Nik Mat, pemimpin ternama PAS meninggalkan legasi besar dalam parti itu tetapi tidak semua anak lelakinya kini kekal dalam parti Islam tersebut.

Ada di kalangan cahaya matanya itu cenderung untuk menyertai parti seteru PAS iaitu Amanah dan mungkin menjadi calon menteri besar untuk parti tersebut.

Bagaimanapun The Malaysian Insight difahamkan anak lelaki sulung Nik Abdul Aziz itu, Nik Omar, 54, hingga sekarang masih belum menegaskan minatnya itu disebabkan tekanan keluarga.

Nik Omar dikatakan sukar untuk menzahirkan minatnya itu kerana allahyarham bapanya merupakan seorang bekas menteri besar dan pemimpin PAS paling dihormati.

Orang yang paling dihormati oleh Nik Omar iaitu ibunya Tuan Sabariah Tuan Ishak pula tidak senang jika beliau menyertai Amanah dan bertanding pilihan raya kerana bimbang akan berlaku perpecahan dalam keluarga besar Nik Aziz itu.

"Nik Omar ini sangat minat untuk menyertai dan aktif dalam Amanah tetapi kerana tekanan keluarga, nampaknya sukar bagi beliau," kata Dr Mujahid Yusof, rakan rapat Nik Omar.

Lebih-lebih lagi memandangkan Amanah sudah diberikan pelbagai label buruk oleh pemimpin PAS termasuk oleh adik beliau sendiri, Nik Abduh.

Nik Abduh merupakan AJK PAS Pusat yang juga ahli Parlimen Pasir Mas.

Seorang lagi adik beliau, Nik Rahim adalah aktivis Ikatan Muslimin Malaysia, sebuah pertubuhan Islam yang sering meraih kontroversi atas pendirian berhubung isu melibatkan agama Islam dan bangsa Melayu.

Adik beliau seorang lagi, Nik Adli adalah bekas tahanan ISA yang didakwa terlibat dalam kegiatan militan ketika belajar di Pakistan dahulu.

Namun tumpuan utama kini adalah pada Nik Omar, yang sudah disebut-sebut sebagai antara calon parti Amanah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Nik Omar kini mewarisi sekolah agama yang diasaskan oleh ayah beliau, iaitu Madrasah Darul Anuar di Pulau Melaka yang terletak bersebelahan dengan rumah Nik Aziz.

Sebagai pengetua sekolah agama swasta ini, Nik Omar mahu menjadikan sekolah ini sebagai penyambung pemikiran Nik Aziz khususnya dalam bidang pendidikan.

Beliau juga mahu sekolah ini menyelami suasana pendidikan yang diterima Nik Aziz semenjak kecil sehingga mencorakkan kehidupannya.

Bakal menteri besar

Sebagai anak bekas menteri besar paling berpengaruh di Kelantan, Nik Omar juga disebut sebagai antara calon menteri besar Kelantan jika Pakatan Harapan (PH) menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Kesesuaian Nik Omar menggantikan arwah ayahnya sebagai menteri besar disebut oleh Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa dalam beberapa majlis sejak November 2016.

Malah, Amanah sanggup memberi kemenangan percuma sekiranya PAS meletakkan Nik Omar sebagai calon di sebuah DUN yang pernah diwakili Nik Abdul Aziz, kata Husam.

"Kalau PAS calonkan Nik Omar untuk DUN ini, pihak kita tidak akan meletakkan calon lain dan mahu beliau menang seperti arwah ayahnya mewakili rakyat di sini," kata Husam seperti dipetik dalam laporan Malaysia Dateline.

Nama Nik Omar kembali disebut sebagai bakal calon MB Amanah pada bulan lalu apabila Istana Kelantan memberi isyarat negatif kepada Husam dengan menarik balik darjah kebesarannya.

Namun rakan rapat beliau, Mujahid, tidak berapa setuju dengan cadangan mencalonkan Nik Omar sebagai menteri besar kerana berpendapat, ulama tersebut tidak suka terlibat dalam suasana politik yang sentiasa tegang.

"Nik Omar ini orangnya lembut. Beliau tidak suka suasana tegang dan seumpamanya yang menjadi kebiasaan dalam politik. Jadi saya tidak fikir beliau sesuai untuk menjadi MB kerana ia perlukan orang yang keras hati," kata Mujahid.

Mujahid, ahli Parlimen Parit Buntar, Perak mengenali Nik Omar dengan rapat kerana pernah tinggal bersama selama lima tahun ketika sama-sama belajar di Universiti Al Azhar, Mesir lebih 30 tahun lalu.

"Dia lebih senior setahun daripada saya tetapi kerana kedua-dua kami anak pemimpin kanan PAS ketika itu, hubungan kami sangat rapat," kata naib presiden Amanah yang merupakan anak mursyidul am PAS pertama, Yusof Rawa itu.

Nama Nik Omar turut disebut dalam rundingan kerusi PH Kelantan. Beliau dikatakan akan diletak oleh Amanah di kerusi DUN Kijang yang terletak dalam Parlimen Pengkalan Chepa, kubu PAS selama ini.

"Amanah juga sedia meletakkan beliau di kerusi ayahanda beliau dulu, Chempaka jika beliau sedia bertanding," kata Mohamad Zainal Abidin Hussein, AJK Amanah Kelantan.

Namun, kata Zainal, sehingga kini belum ada kata putus sama ada Nik Omar sedia bertanding atau tidak.

"Kita tidak tahu lagi sejauh mana kesediaan beliau bertanding dalam pilihan raya kali ini sebab dia terikat dengan keluarganya.

"Namun sejak timbul isu audio yang dikatakan suara adiknya Nik Abduh itu, suasana agak lain," kata Zainal.

Beliau merujuk kepada penularan satu rakaman audio yang mendakwa Nik Abduh terbabit mengatur kerjasama di antara PAS dan Umno dengan melibatkan sejumlah wang.

Nik Abduh bagaimanapun menafikan beliau merupakan individu yang bercakap dalam rakaman yang tersebut, namun Zainal mendakwa, kesannya sudah dapat dilihat.

"Ada ahli keluarga besar Tok Guru (Nik Aziz) yang kata, dengan audio ini Nik Abduh akan kalah di semua kerusi jika beliau bertanding," kata Zainal yang merupakan bekas pegawai penyelidik di Pusat Kajian Strategik (PKS), sebuah badan di bawah kerajan negeri Kelantan.

Berdasarkan perhitungan kasar itu, sekiranya Nik Abduh tidak lagi memegang kuasa politik, hanya Nik Omar sahajalah merupakan pewaris keluarga Nik Aziz dalam arena politik di Kelantan.

Tiada ulasan: