"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Naib Presiden PKR Mahu Wakil PAS Keluar Kerajaan Selangor

FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang wakil rakyat di Selangor menggesa PAS keluar daripada kerajaan negeri, selepas parti Islamis itu menghina sambutan 10 tahun pemerintah PKR, PAS dan DAP, dan sebaliknya mengadakan sesi solat hajat untuk mengecam musuh-musuh politik.

Adun Sri Andalas Xavier Jayakumar juga mempertikaikan imam solat hajat itu, Ahmad Dusuki Abdul Rani, kerana terus menerima bayaran daripada kerajaan negeri.

Dusuki, seorang ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dilaporkan mendoakan kehancuran musuh-musuh PAS, mengundang kritikan daripada Pakatan Harapan, gabungan parti-parti pembangkang yang tidak disertai PAS.

“Tidakkah semua ahli PAS Selangor termasuk exco dan Adun dan Dusuki bersikap hipokrit apabila mereka mendoakan sesuatu seperti itu sedangkan mereka sebahagian daripada kerajaan yang berjaya?” soal Xavier, yang juga naib presiden PKR.

Sambutan ulangtahun kerajaan negeri bertemakan “Karnival Himpunan Rakyat” dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bersama-sama pimpinan PKR dan DAP di Stadium Malawati, Shah Alam.

Tetapi PAS mengadakan sambutan tersendiri di Stadium JKR Shah Alam.

Xavier berkata wakil PAS dalam kerajaan negeri sentiasa “dilayan dengan adil” walaupun tidak sehaluan dengan PKR dan DAP, dan cara itu memastikan hal ehwal pentadbiran negeri tidak terganggu.

“Kami bingung kerana bagaimana mereka boleh meraikan kejayaan bersama sejak 2008 dan dalam masa yang sama mendoakan kehancuran,” kata Xavier.

“Jika mereka di dalam PAS Selangor terus berdoa dan merasakan begitu terhadap kami dalam Pakatan Harapan, mungkin tindakan bermaruah untuk mereka ialah meletakkan jawatan dengan segera sebagai tanda protes terakhir terhadap kerajaan negeri,” katanya.

PAS mempertahankan kandungan doa yang dibacakan Dusuki, dan berkata mendoakan kehancuran musuh ialah amalan biasa.

“Isunya bukan doa, tetapi media pusing,” kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Antara pertikan daripada doa itu adalah seperti berikut:

“Kami pohon untuk mengadu pada kamu, ya Allah, betapa jemaah ini dikhianati oleh mereka-mereka yang melarikan kerusi kami.

“Ya Allah, jadikanlah pakatan yang jahat itu, pakatan yang tidak mempunyai kekuatan, ya Allah, sebagaimana Kamu telah meleburkan tentera-tentera ahzab itu, ya Allah.

“Hanya kami membawa ajaran-Mu ini, ya Allah. Jika kamu rebahkan kami, siapa lagi yang mampu untuk membawa agama-Mu ini.

Tiada ulasan: