"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tsunami Melayu bakal landa Alor Setar?

Melissa Darlyne Chow
ALOR SETAR: PKR berharap kerjasama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menarik sokongan pengundi Melayu, bukan sahaja untuk mempertahankan kerusi Parlimen Alor Setar, tetapi membantu Pakatan Rakyat (PH) menawan Kedah.

Ahli Parlimen Alor Setar daripada PKR, Gooi Hsiao Leung berkata, kecenderungan pengundi Cina kepada parti pembangkang seperti ditunjukkan pada pilihan raya umum (PRU) 2008 dan 2013, kekal tidak berubah.

Katanya, isu utama ialah sama ada PRU14 akan menyaksikan “tsunami Melayu” akan berlaku seperti “tsunami Cina” yang dikatakan membantu pembangkang pada PRU lalu.

“Saya percaya kerjasama antara Anwar dan Dr Mahathir akan mencetuskan tsunami Melayu yang diperlukan kami untuk mempertahankan Alor Setar dan menawan semula Kedah,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kehadiran PPBM yang diketuai Dr Mahathir akan membantu menarik lebih banyak undi Melayu untuk PKR.

Katanya, Dr Mahathir dan pemimpin Melayu lain dalam PH turut berjaya menghalang cubaan Umno menakut-nakutkan orang Melayu mengundi PKR dan DAP.

Gooi yang merupakan ketua cabang PKR Alor Setar berkata, partinya memperoleh 40% hingga 45% undi Melayu di kerusi Parlimen Alor Setar pada PRU13, dan jumlah itu dijangka terus meningkat pada PRU14.

Dr Mahathir yang pernah memimpin negara selama 22 tahun, adalah seorang daripada 2 bekas perdana menteri yang dilahirkan dan dibesarkan di Alor Setar. Seorang lagi ialah perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman yang menerajui negara sejak merdeka, dari 1957 hingga 1970.

Pada PRU 2013, Gooi mengalahkan penyandang dari MCA, Tan Sri Chor Chee Heung yang memenangi kerusi itu selama 5 penggal berturut-turut, dengan majoriti kecil 1,873 undi.

Pada PRU 2008, Gooi kalah kepada naib presiden MCA ketika itu dengan majoriti tipis 184 undi.

Alor Setar, ibu negeri Kedah adalah bandar ke-2terbesar di negeri utara ini, selepas Sungai Petani.

Ia mempunyai hampir 70,000 pengundi berdaftar, dengan 62% pengundi Melayu, 33% Cina dan India 5%.

Terdapat 3 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Alor Setar.

Kerusi Bakar Bata disandang Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, sementara kerusi DUN Kota Darulaman dikuasai wakil DAP, Teoh Boon Kok dan kerusi DUN Alor Mengkudu oleh Ahmad Saad @ Yahaya daripada PAS.

Gooi berkata, insiden penyingkiran anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz yang ketika itu masih bersama Umno, daripada jawatan menteri besar Kedah pada 2016 melalui undi tidak percaya oleh exco Barisan Nasional (BN), akan memberi kesan ke atas pengundi.

“Peristiwa itu masih segar dalam fikiran rakyat, terutama orang Melayu,” katanya sambil menambah Mukhriz yang kini timbalan presiden PPBM dan naib presiden PH, akan mengetuai kempen PH di Kedah.

Gooi berkata, pengundi Melayu juga cenderung kepada PH kerana isu seperti kenaikan kos sara hidup, cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan kerajaan BN pada 1 April 2015, selain isu seperti 1MDB.

Tiada ulasan: