"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Prospek order lama lwn order baru

DR MUJAHID YUSOF 
PRU semakin hampir, sementara ramai yang menunggu tarikh pembubaran, permasalahan sebenarnya tidak berhenti dengan pembubaran dan tarikh mengundi.

Isu sebenarnya jauh lebih kritikal, ia tentang masa depan negara dan masa depan peluang politik baharu muncul memimpin. Dengan kata lain ia adalah pertembungan order lama lwn order baru.

Perubahan yang dilaungkan dalam hampir semua wacana pembangkang selama ini perlu diambil secara serius oleh rakyat Malaysia. Ia bukan wacana menonjolkan parti-parti pembangkang tetapi jauh lebih besar ialah menonjolkan order baru lewat ide-ide baru yang segar untuk negara ini melonjak ke hadapan.

Perubahan adalah tentang ide, walaupun ide baru bukan hak cipta terpelihara pembangkang, namun keperluan untuk ide ini dikembangkan dan dilaksanakan memerlukan parti yang meyakininya dan memperjuangkannya bukan hanya ‘lips service’ untuk kekal berkuasa tanpa memupuk dan merangkulinya.

BN sudah berkuasa hampir 50 tahun namun pemikiran barunya kehilangan momentum kerana keinginan kekal berkuasa lebih utama kepadanya daripada memperkenalkan ide baharu.

Bebanan sejarah lampau BN, khususnya Umno terlalu berat untuk dibawa bersama dengan ide yang segar dan baru sedangkan pembangkang dalam gabungan PH (Pakatan Harapan) lebih selesa membawa ide baharu untuk negara.

Tun M ORDER LAMA?

Ada yang berpendapat PPBM pimpinan Tun Mahathir adalah bebanan lampau dan kekok membawa ide baharu. Sementara kenyataan itu ada kebenarannya, namun bebanan itu diimbangi dengan kesegaran ide rakan komponen dari Keadilan, AMANAH dan DAP yang membuktikan komitmen mereka kepada memberi ruang politik baharu.

Ia adalah kemenangan kepada politik baharu sebenarnya kerana PPBM dan Tun Mahathir memilih untuk bersama ide baharu dan pemikiran baharu. Tun Mahathir boleh sahaja memilih untuk kekal bersendirian seperti Pas tetapi beliau dan PPBM memilih untuk bersama pakej politik baharu dan sedar bahawa pilihannya itu bermakna ‘melawan’ idenya sendiri semasa negarawan itu mewakili order lama.

IMPLIKASI KEGAGALAN ORDER BARU

Segala poin di atas membawa kepada persoalan lain yang lebih kritikal; apa akan jadi jika politik order baru PH gagal menang dengan politik order lama BN?

Kekalahan order baru PH pasti membawa mesej yang menyedihkan bahawa rakyat belum bersedia memasuki order baru. Ini bermakna Malaysia akan ketinggalan berbanding negara jirannya di Indonesia, Thailand, Filipina dan lain-lain negara yang sudahpun memasuki order baharu politik.

Kegagalan Malaysia memasuki fasa order baru juga membawa makna bahawa PH belum cukup kekuatan untuk meyakinkan rakyat Malaysia tentang hasratnya dan manifestonya.

Ini juga membawa mesej bahawa sepenggal lagi usaha memenangkan politik baharu akan berhadapan dengan lebih tekanan daripada order lama menyekat perubahan yang sepatutnya sudah lama berlaku.

Order lama akan lebih tertumpu untuk mengekang kebangkitan order baru dan secara implikasinya negara ini akan terus dilitupi awan mendung. Demokrasi terjejas manakala salah guna kuasa akan terus bermaharajalela, tanda kediktatoran bukan lagi mungkin tetapi pasti.

Demikianlah bagaimana PRU ke-14 begitu bermakna kepada seluruh rakyat Malaysia. Ia bukan pertembungan BN lwn PH tetapi order lama lwn order baru. Pilihan di tangan rakyat!
________________________
Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ialah Naib Presiden AMANAH dan Ahli Parlimen Parit Buntar.

Tiada ulasan: