"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS S'gor doa hancur 'tentera ahzab pakatan' (Gambar)

PAS Selangor pada malam ini mengadakan majlis solat hajat demi kemenangan parti itu di negeri berkenaan serta mendoakan kehancuran Pakatan Harapan (HARAPAN).

Solat hajat yang diimamkan anggota perhubungan PAS Selangor Ahmad Dusuki Abd Rani itu juga menyamakan pertempuran antara PAS dan HARAPAN pada pilihan raya umum akan datang seperti peperangan ahzab.

Peperangan ahzab atau dikenali sebagai perang khandak merupakan peperangan antara tentera kafir di sekitar tanah Arab yang berkumpul untuk memerangai Nabi Muhammad yang ketika itu berada di Madinah.

"Kita solat hajat pada malam ini khusus untuk kemenangan PAS. Rakaat pertama, baca surah al-Kafirun dan niatkan kepada musuh-musuh kita yang tak beriman pada Allah. Rakaat kedua baca surah al-Ikhlas dan niat supaya Allah beri kemenangan pada kita," kata Ahmad Dusuki sebelum mengimamkan solat hajat yang dihadiri kira-kira 7,500 hadirin.

Ia dilakukan sebelum ceramah perdana sempena 10 tahun PAS berada dalam kerajaan negeri Selangor di Shah Alam.

Mungkiri baiah dapat balasan Allah

Selepas selesai solat hajat, Dusuki kemudian berdoa antaranya memohon agar PAS diberi kemenangan pada pilihan raya umum akan datang serta dapat memerintah di Selangor.

Dusuki yang juga pendakwah bebas turut berdoa agar 'pihak' yang meninggalkan PAS serta 'memungkiri' baiah mendapat balasan daripada Allah.

Antara doa yang dibacakan Dusuki ialah:

"Ya Allah kami pohon, mengadu padamu, betapa lamanya bumi Selangor ini dijajah dengan cara yang tidak beragama. (Oleh itu), beri peluang pada PAS untuk memerintah di Selangor. Beri peluang untuk kami lihatkan keindahan agamaMu ini di bumi bertuahmu ini.

"Kami memohon dan selayaknya kamu membalasnya ya Allah, betapa jemaah ini dikhianati oleh mereka yang larikan kerusi kami ya Allah, betapa mereka ini perlu dibalas. (Sesungguhnya) kamu sebaik-baik yang dapat membalasnya ya Allah.

"Jadikan pakatan yang jahat itu pakatan-pakatan yang tak mempunyai kekuatan, sejauh mana kamu leburkan tentera ahzab, demikianlah kami akan hadapi nanti.

Dusuki juga berdoa agar mereka yang bersama PAS mendapat balasan syurga dan menjauhkan mereka daripada azab neraka.

"Kami pohon agar amalan memangkah lima tahun sekali ini, jadikanlah pengundi hanya lihat Islam sebagai cara hidup, beri peluang pada kami buktikan keindahan agama kamu ini khususnya di Selangor. Kami hanya mampu mengadu pada kamu ya Allah.

"Jadikanlah setiap mereka yang bersama PAS ini semuanya dalam syurga ya Allah, jauhkan ahli PAS dari terhumban ke nerakaMu.

"Hancurkan tentera ahzab Pakatan, hancurkan kekuatan mereka, jadikan perpecahan di kalangan mereka... Tegakkan Islam, inilah permohonan kami," doa Dusuki lagi.
-malaysiakini

Tiada ulasan: