"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa punya bengap? Hampir semua perniagaan Tabung Haji rugi

Beberapa wakil rakyat PH mendakwa mereka diberi taklimat bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) mengalami kerugian tambahan sebanyak RM10 bilion pada tahun kewangan 2017 namun ia tidak dinyatakan dalam laporan badan tersebut.

Anggota Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir berkata dia terkejut kerana kerugian tersebut tiada dalam laporan mengenainya dibuat.

“Dalam taklimat ada diadakan, apabila saham Felda Global Venture (FGV) jatuh dan panduan dalaman diubah, ada kerugian tidak direkodkan dan sebenarnya duit itu sudah tidak ada.

“Pendedahan semalam (Rabu) memang mengejutkan.

"Kita tahu pada 2017 defisit TH ialah RM4.1 bilion tapi ada angka tak dimasukkan sebelum ini,” katanya seperti dipetik portal berita TMI.

Menurut ketua pemuda PKR itu, perkara terbabit dinyatakan dalam taklimat Penyata Kewangan Tabung Haji 2017 kepada wakil rakyat PH di Parlimen pada Rabu.

Tambah Akmal, kerugian yang tinggi itu menyebabkan TH tidak dapat membayar kadar hibah yang tinggi kepada pendepositnya.

TH tak payah berniaga

Selain itu, katanya lagi, kenaikan defisit TH turut disumbangkan oleh pemilikan saham FGV yang dibeli pada harga yang tinggi.

Sementara itu, Anggota Parlimen Sungai Petani Johari Abdul turut memaklumkan bahawa hampir semua urus niaga dan pelaburan TH menemui kegagalan.

Johari turut hadir dalam taklimat tersebut bersama kira-kira 40 anggota parlimen PH yang lain.

Mengambil contoh penjualan ladang kelapa sawit di Riau, Indonesia, Johari mendedahkan aset itu hanya dibeli pada harga 10 peratus daripada nilai sebenarnya sebanyak RM900 juta.

“Jadi saya rasa tak payahlah TH nak berniaga. Duit pendeposit tak payah dilabur untuk berniaga, (sebaliknya) masukkan dalam deposit tetap atau instrumen kewangan lain (sebab) hampir semua perniagaan TH rugi,” katanya yang turut terkejut dengan perkembangan tersebut.

Pada tahun lalu, sisasatan ke atas TH dengan turut melibatkan audit terhadap agensi itu untuk tahun 2017, yang dijalankan oleh firma PriceWaterhouseCoopers.

Audit itu mendapati TH membuat bayaran hibah bukan daripada keuntungan yang diperolehinya, sebaliknya daripada deposit ahlinya.

Satu laporan dibentangkan di parlimen pada Disember tahun lalu mendedahkan TH membuat dua perjanjian perniagaan yang menampakkan seolah-olah dividen dibayar menggunakan keuntungan dana, selain beberapa transaksi yang boleh dipersoalkan.

Selain itu, turut didedahkan bahawa TH sebenarnya menanggung kerugian sebanyak RM10.2 bilion dalam pelaburan saham dan tanggungannya telah melebihi aset sebanyak RM9 bilion.

Dalam taklimat Rabu itu juga, wakil wakyat yang hadir turut didedahkan dengan langkah penyelamatan berupa suntikan modal menerusi pemindahan aset TH yang tidak digunakan ke syarikat tujuan khas (SPV).

Kata Johari, suntikan dana tersebut juga melibatkan pengeluaran sukuk sebanyak dua kali dengan jumlah RM20,000 juta.

Terdahulu hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa mengumumkan kadar hibah TH sebanyak 1.25 peratus membabitkan agihan sebanyak RM913 juta untuk 2018.

Kadar itu merupakan yang terendah dalam sejarah sejak penubuhan TH pada 1963.

Pada tahun lalu, TH mengumumkan hibah 4.5 peratus kepada pendeposit, dan tambahan hibah haji 1.75 peratus pendeposit yang belum menunaikan haji bagi tahun 2017.

Tiada ulasan: