"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki mengamuk gagal keluar duit ATM ditembak

KLANG - Gara-gara tidak berpuas hati kerana gagal mengeluarkan wang daripada sebuah bank, seorang lelaki di bawah pengaruh dadah telah mengamuk dan menyerang dua anggota polis dalam satu kejadian di hadapan sebuah bank di sini tadi.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berasal dari Sabah itu akhirnya membawa padah apabila pihak polis telah melepaskan dua das tembakan yang telah mengenai perut suspek dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati suspek terlebih dahulu telah ke bank tersebut bagi mengeluarkan sejumlah wang daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pukul 12.30 tengah hari.

Katanya, bagaimanapun suspek dikatakan mengamuk selepas gagal mengeluarkan sebarang wang dari mesin ATM itu sebelum beredar.

"Pengawal keselamatan bank memaklumkan kepada anggota polis bahawa suspek akan kembali ke bank pukul 2 petang selain akan mengamuk sekali lagi sekiranya gagal mengeluarkan wang lagi.

"Kira-kira pukul 2 petang pengawal keselamatan telah menghubungi anggota Unit Rodaan Bermotosikal (URB) dan memaklumkan suspek berada di bank, "katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shamsul Amar memberitahu, anggotanya kemudian menghala semula ke bank berkenaan dan mendapati suspek berada di hadapan bank dalam keadaan marah dan memegang pisau.

Ujar beliau, seorang anggota polis cuba menenangkan suspek namun suspek bertindak agresif mengejar anggota polis berkenaan dan cuba menikam dengan pisau.

"Bagi mempertahankan diri dua anggota yang berada di lokasi kejadian telah melepaskan empat das tembakan dan dua daripadanya mengenai perut suspek.

"Kita turut merampas sebilah pisau satu peket mengandungi serbuk putih dipercayai dadah dalam beg pinggang suspek" katanya.

Jelas Shamsul Amar, suspek yang cedera itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.

"Hasil siasatan awal turut mendapati wang yang cuba dikeluarkan oleh suspek didapati belum memasuki akaun simpanannya.

"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau dan ketika kejadian suspek dibawah berada di bawah pengaruh dadah,"katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. - K! ONLINE

Tiada ulasan: