"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saya masih ahli PAS, kata calon bebas PRK Rantau

Malaysiakini
PRK RANTAU | Beberapa jam selepas Mohd Nor Yassin disahkan bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil (PRK) Rantau, timbul pertikaian berhubung status keanggotaannya dalam parti politik.

Dalam kenyataan media hari ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata beliau sudah membuat semakan dan mendapati Mohd Nor bukan ahli PAS.

Sebaliknya, kata Takiyuddin, Mohd Nor sudah menyertai Amanah tiga minggu lalu.

"Saya dengan ini mengesahkan rekod PAS menunjukkan Mohd Nor Yassin bukan ahli PAS setelah beliau menyertai Amanah pada 10 Mac 2019," katanya.

Bagaimanapun, ketika dihubungi Mohd Nor menafikan dirinya ahli Amanah dan menegaskan dia masih lagi ahli PAS.

"Saya (ahli) parti PAS," katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas kenyataan Takiyuddin yang mengatakan dia menyertai Amanah 10 Mac lalu, Mohd Nor berkata: "Saya tak dapat maklumat itu (bahawa saya ahli Amanah). Saya masih ahli PAS".

Ditanya sekali lagi sama ada beliau pernah menyertai ahli Amanah, Mohd Nor sekadar berkata: "Nanti saya putuskan selepas PRK", sebelum meminta dihubungi kemudian kerana sedang memandu.

Amanah negeri siasat

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Sinar Harian memetik Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani mengesahkan bahawa Mohd Nor merupakan bekas ahli PAS yang sudah menyertai Amanah.

Mohamad Taufek juga tidak menolak kemungkinan Mohd Nor Yassin, yang bertanding sebagai calon bebas pada PRK Rantau cuba "mensabotaj" PH.

"Dia (Mohd Nor) baru sahaja sebulan menjadi ahli Amanah, dan kita juga tidak sangka dia boleh mengambil keputusan untuk bertanding sebagai calon bebas pada PRK ini.

"Kita masih lagi menyiasat apa sebenarnya yang ingin dia lakukan, memandangkan dia ahli Amanah sepatutnya perlu berusaha dan memberi kerjasama untuk memenangkan calon PH, bukan sebaliknya.

"Tindakan yang dibuat itu melambangkan dia bukanlah seorang ahli yang ingin sama-sama mendokong perjungan parti, sebaliknya cuba melawan PH dan lebih buruk lagi cuba sabotaj Amanah pada PRK ini," katanya dipetik sebagai berkata.

Mohamad Taufek juga berkata perkara tersebut akan dirujuk ke Jawatankuasa Disiplin parti di peringkat pusat, untuk tindakan selanjutnya.

Mohd Nor, 66 pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 bertanding sebagai calon PAS bagi kerusi dewan undangan negeri Gemencheh di Negeri Sembilan.

Bekas pensyarah itu tewas di kerusi itu dengan beza 3,025 undi selepas meraih 4,757 undi berbanding calon BN Mohd Isam Mohd Isa yang meraih 7,782 undi.

Mohd Nor hari ini tampil menyerahkan borang pencalonan untuk PRK Rantau sebagai calon bebas.

Selain Mohd Nor, turut bertanding sebagai calon bebas ialah, R Malar yang merupakan penganjur program kemasyarakatan

Dua calon lain ialah dari PH Dr S Streram dan calon BN yang juga Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

PRK Rantau akan diadakan pada 13 April ini.

Tiada ulasan: