"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenapa hibah Tabung Haji sangat rendah?

DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN
ULASAN | Ada yang bertanya mengapa hibah Tabung Haji sangat rendah? Lalu muncul sedikit kepanikan dan ketidakpuasan hati, sebahagian didasari kebimbangan tulen, sebahagian yang lain pula hanya bersumber kepada sebab kebencian dan perseteruan politik.

Adalah diingatkan tulisan ini bukan dari orang politik, saya sekadar usaha berkongsi ulasan untuk bacaan orang ramai yang bertanya.

Info dan fakta dalam ulasan saya ini bersumber dari pihak Tabung Haji sendiri dan saya tiada kepentingan dalam TH malah saya telah pun beberapa menunaikan haji melalui perjalanan sendiri sewaktu belajar dahulu, tiada satupun bersama TH.

Ulasan ini dibuat bagi melaksanakan tugasan menjawab soalan mereka yang cintakan ilmu dan kebenaran.

Saya hanya sekadar menyampaikan maklumat sebenar sekdar yang saya faham, saya juga tiada sebarang autoriti atau kuasa untuk menjustifikasi berlebihan, mempertahankan atau mempengaruhi sebarang keputusan komersial, operasi dan penstrukturan oleh pihak TH.

Justeru, jika ada keputusan dan tindakan TH yang tidak dilihat tepat dari sudut komersial, itu adalah perbezaan biasa sudut pandangan komersial dari seseorang individu atau institusi dengan pengurusan TH.

Ia tidak semestinya lebih tepat atau lebih baik dari keputusan TH, kerana TH diyakini lebih fahami luar dalam organisasi yang diurusi mereka.

Tak pelik kadar 1.25 peratus

Telah beberapa bulan saya dan TH memberikan gambaran bahawa hibah memang akan rendah tahun 2018, malah saya juga telah berkongsi info bahawa 1 hingga 2 peratus adalah kemungkinan besar hibah TH bagi tahun 2018, hasil kajian dari kaedah pensturktuan semula yang dilaksana oleh TH.

Justeru, sesiapa yang ikuti isu ini sejak dari awal, sudah tentu tidak pelik dan tidak mengejutkan dengan kadar 1.25 peratus tersebut.

Hibah itu dari Bahasa arab yang ertinya adalah hadiah. Dari sudut kontrak dalam fiqh muamalat, adalah pelik dan tiada kewajaran untuk penerima hibah memarahi hadiah yang kecil diberi oleh pemberi hadiah.

Maka hibah kecil berbanding sebelum tentunya bersebab. Kerana kontrak syarah yang digunapakai oleh Tabung Haji dengan penyimpan adalah Wadi’ah Yad Dhamanah yang bererti kontrak pinjaman wang.

Maka hadiah dan jumlahnya mestilah diberi secara tanpa paksa dan sukarela oleh pemberi hadiah bagi mengelakkan elemen riba. Hal ini juga telah diteliti oleh Majlis Penasihat Shariah TH.

Sekarang apa sebab hibah TH terlalu rendah?

Baiklah, namun apa sebabnya ia terlalu rendah ? Ada pelbagai sebabnya yang tercantum dan membarah antaranya kelemahan pengurusan TH terdahulu, pelanggaran Akta Tabung Haji 1995 serta faktor politik ekonomi dalam dan luar negara.

a) Kelemahan pengurusan terdahulu

Kelemahan pengurusan TH yang dahulu (kerana hibah 2018 adalah refleksi tugasan dan keputusan pengurusan TH sejak dari tahun sebelumnya sehinggalah tahun 2017 dan 2018), sebahagian keputusan ini tidak dianggap jenayah kerana menurut undang-undang, kelemahan ‘certain type of bad investment decision is not a crime’, maka tidak semua jenis kelemahan boleh diheret ke mahkamah.

Sebahagian lagi yang lain, telah pun dilaporkan kepada polis dan dalam siasatan iaitu kes yang merugikan Tabung Haji.

Antara kes-kes yang membawa kerugian seperti arahan untuk tidak menjual saham FGV sehingga kerugian RM1.1 bilion, TH menyelamatkan Ramunia Holdings Bhd (nama lama sebelum ditukar kepada nama TH Heavy Engineering Bhd) sehingga kerugian RM670juta dan TH membeli 30 peratus peilikan dalam syarikat Putrajaya Perdana Berhad melibatkan RM144 juta kerugian.

Menurut laporan TH, Lembaga Pengarah TH baru telah membuat laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Perkhidmatan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli lembaga pengarah dan pengurusan lama.

Laporan pertama melibatkan Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017, di mana dana berjumlah lebih daripada RM22 juta telah dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik. Ia bertentangan dengan Memorandum dan Artikel Persatuan YTH.

Laporan kedua dibuat ke atas beberapa pengurusan TH yang lalu berhubung dengan salah nyata dan penyembunyian maklumat penting yang melibatkan penjualan saham TH dalam tahun 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang oleh dua anak syarikatnya, iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) dengan harga AS$910 juta (RM 3.7 billion).

Laporan ketiga dibuat pada bulan Januari 2019 berhubung dengan akaun kewangan TH bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 (FY17).

Laporan ini melibatkan pembentangan laporan kewangan oleh bekas para eksekutif utama TH sehingga berjaya mengisytiharkan hibah walaupun keuntungan tidak mencukupi, bertentangan dengan Akta Tabung Haji 1995.

Pihak polis sedang membuat siasatan mengikut Seksyen 420 dan 409 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Selain itu, SPRM juga sedang menyiasat ahli lembaga pengarah dan pengurusan yang lama. Lebih banyak laporan polis akan dibuat pada masa hadapan berkaitan dengan kerugian yang dialami oleh TH.

Baca berkaitan: Tabung Haji buat laporan polis terhadap Azeez, bekas CEO

b) Melanggar Akta Tabung Haji 1995

Mantan gabenor Bank Negara Malaysia, Zeti Akhtar Aziz pernah menulis surat kepada mantan menteri yang bertanggungjawab pada 23 Disember 2015 untuk memberi amaran bahawa TH mengalami masalah kekurangan aset.

Walau bagaimanapun, kerajaan tidak mengambil iktibar daripada amaran tersebut dan terus membenarkan TH membayar hibah (dividen) yang tinggi, walaupun keuntungannya tidak mencukupi.

Melihat laporan kewangan TH tahun 2017, mencatatkan kemerosotan nilai sebanyak RM120.4 juta sahaja, maka seolahnya TH tiada kerugian dan serta asetya melebihi liabiliti termasuk kerugian, namun hakikat sebenarnya ukur rujuk kemerosotan nilai telah diubah, menyalahi standard piawaian perakaunan yang dipakai oleh TH sendiri iaitu menurut Financial Reporting Standard Consensus no 14 di bawah ‘impairment’ mengkehendaki TH merekodkan semua ini sebagai kerugian, apabila ia dikembalikan menurut standard yang betul, kemerosotan nilai tahun 2018 menokok sebanyak 12.5 kali ganda sehingga menjadi RM1.507 bilion.

Inilah yang menjadikan TH kekurangan aset berbanding liabiliti serta menyekat pemberian hibah yang lebih besar.

c) Politik ekonomi dalam dan luar negara

Faktor politik dan ekonomi dalam negara dan juga faktor ekonomi luar negara seperti Federal Reserve USA menaikkan kadar faedahnya sebanyak 4 kali pada tahun 2018, naik dari 2 peratus kepada 2.25 peratus, ini menyebabkan pelabur global mengutamakan Pasaran Saham USA yang lebih menyakinkan berbanding pasaran negara-negara membangun termasuk Malaysia, Trade War di antara China & USA turut beri kesan besar kepada kesatabilan pasaran saham.

Begitu juga juga kekalutan isu Brexit yang pengaruhi seluruh pasaran saham serantau termasuk Asia. Ini tentunya menjadi salah satu penyebab tambahan bagi jatuhnya nilai pelbagai saham yang dipegang oleh TH juga.

Tidak dinafikan, perubahan kerajaan PH dari BN buat pertama kali dalam sejarah Malaysia turut menambah lagi perisa ketidaktentuan pasaran saham di Malaysia. Ia perkara lumrah bagi sebuah perubahan besar dalam sesebuah negara.

Tak untung cuma pusing wang penyimpan

Menurut CEO Tabung Haji Zukri Ab Samat dalam sidang media pengumuman hibah, akta TH menghadkan pemberian hanya pada lebihan (surplus) aset berbanding liabiliti, maka walaupun keuntungan semasa TH adalah RM2.014 bilion, tetapi jumlah yang boleh diagihkan berdasarkan Akta TH (bagi memastikan agar liabiliti tidak lebihi asset lagi) hanayalah RM913 juta sahaja. Itulah jumlah yang membentuk 1.25 peratus hibah tahun 2018 yang terendah dalam sejarah.

Dijelaskan juga oleh pengurusan terkini TH, sejak beberapa tahun dahulu TH mampu memberikan hibah tinggi kerana wujud manipulasi piawaian perakaunan TH dan juga ketidaktepatan kedudukan akaun TH.

Akibatnya hibah bagi beberapa tahun lalu adalah datang dari wang depositor bukannya dari untung perniagaan sebenar. Ia adalah resepi keruntuhan TH sekiranya diteruskan serta tidak diperbaiki dan diperbetulkan.

Bermakna, hibah tinggi masih boleh diberi tetapi dengan cara melanggar akta TH, mengubah ambang kemerosotan nilai secara salah sekaligus melanggar piawaian perakauan TH sendiri dan menggunakan deposit penyimpan.

Ini semua kalau dilakukan pada tahun 2018, pasti boleh memberikan lebih dari 6 peratus hibah tetapi ia salah di sisi undang-undang dan juga syarak serta menjatuhkan standard TH seperti skim cepat kaya pak man telo yang menggunakan duit pelabur awal untuk membayar pelabur terkemudian, bukan didasari oleh untung perniagaan tetapi memusing-musing wang penyimpan.

Kerajaan biaya kos selamatkan TH

Berdasarkan maklumat dari sidang akhbar TH, Iaitu melalui suntikan dana bersih sejumlah RM17.8 bilion ke dalam TH akan dibiayai oleh kerajaan dalam tempoh 10 tahun, iaitu dari tahun 2020 sehingga tahun 2030.

Kerajaan menerusi sebuah syarikat tujuan khas atau special purpose vehicle (SPV), iaitu Urus Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang diketuai oleh CEO yang baru dilantik iaitu Izad Shahadi, membeli aset TH yang kini bernilai hanya RM9.7 bilion dengan harga yang lebih tinggi pada RM19.9 bilion.

Pembayaran RM19.9 bilion ini terdiri daripada:

a. RM10.0 bilion dalam bentuk sukuk berkupon sifar dengan pulangan 4.05% setahun bertempoh 7 tahun.

b. RM9.6 bilion dalam bentuk sukuk berkupon sifar dengan pulangan 4.10% setahun bertempoh 10 tahun.

c. RM0.3 bilion dalam bentuk bayaran tunai yang dijana menerusi aset RM9.7 bilion yang telah dijual kepada SPV (dividen dan sewa yang diperolehi).

Dengan penerimaan aset-aset bernilai RM19.9 bilion, nilai aset TH akan bertambah dan melebihi liabilitinya sambil mematuhi piawaian yang sepatutnya.

Dengan peningkatan nilai asetnya, TH akan terus mampu membayar hibah menurut keuntungan yang diperolehi pada masa depan.

Dengan kata lain, kerajaan akan menanggung beban kewangan sebanyak RM19.6 bilion untuk menyelamatkan TH.

Kos yang akan ditanggung oleh kerajaan ke atas sukuk bernilai RM19.6 bilion tersebut dianggarkan sebanyak RM7.9 bilion, dan ini juga akan dibiayai oleh kerajaan. Ini menjadikan tanggungan kasar kerajaan untuk menyelamatkan TH sebanyak RM27.5 bilion yang disandarkan kepada aset bernilai RM9.7 bilion.

Selepas menolak nilai aset sebanyak RM9.7 bilion, kerajaan akan membuat suntikan dana bersih sebanyak RM17.8 bilion ke dalam TH yang akan dibayar dalam tempoh 10 tahun.

Berdasarkan kenyataan CEO TH, rumusannya keadaan TH sekarang adalah:

Defisit telah berjaya ditutup. Hibah boleh diagihkan mengikut Akta Tabung Haji.
Semua kerugian rosot nilai telah direkodkan. Dijangka tiada lagi kejutan di masa hadapan.
Kedudukan kewangan telah pulih. Pulangan yang stabil daripada aset yang berdaya saing.
Sokongan daripada kerajaan melalui peruntukan tahunan diberikan untuk memastikan semua sukuk ditebus semula oleh SPV.
Hak keutamaan dimiliki TH yang mana TH boleh mengambil semula aset yang telah dipindahkan setelah dipulihkan.
Tadbir Urus dan ketelusan yang lebih baik. Pengawalseliaan yang diperkukuhkan serta pengurusan pelaburan dan risiko yang lebih mampan.
Subsidi haji masih ada bagi mereka yang ingin menunaikan haji termasuk pengiring.
Simpanan penyimpan semua selamat malah dijamin 100 peratus oleh kerajaan.
Aset yang dipegang oleh SPV Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) kini diuruskan sendiri oleh UJSB yang diketuai oleh CEO Melayu Muslim bernama Izad Shahadi Mohd Sallehuddin dengan dibimbing oleh 5 orang ahli Lembaga Pengarah yang semuanya Islam. Prokhas dan CEO berbangsa Cina tiada lagi peranan dalam hal ini.
Keputusan besar dan penting berkaitan urusan TH semuanya dibawa ke kabinet menteri dan tiada sama sekali dikawal oleh menteri kewangan atau mana-mana bukan muslim. TH adalah di bawah tugasan perdana menteri dan menteri hal ehwal agama sahaja.
Pandangan saya bagi pendepositor, bagi sesiapa yang menyimpan untuk menunaikan haji, terlebih baik untuk mereka kekal dalam TH bagi melunaskan hasrat mulia dan kewajiban haji terbabit serta mendapat subsidi haji dari TH.

Bagi penyimpan untuk keuntungan yang lain dari itu termasuklah 1.3 peratus penyimpan kaya di TH yang merupakan pemegang RM37 bilion daripada keseluruhan jumlah simpanan RM74 bilion wang penyimpan, bertenanglah sekejap dan kemudian dengar dan fahami penjelasan pihak Tabung Haji dan bukan orang politik dari mana-mana parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan (mereka saling melobi sokongan).

Sebaiknya fahamkan penjelasan CEO Tabung Haji Zukri Samad sebagaimana yang beliau huraikan dalam suatu sidang media.

Biarlah kita mengambil maklumat dari bukan orang politik, ia lebih terpercaya.

Jika masih tidak percaya, maka duit simpanan itu adalah duit anda, anda paling berhak menentukan keputusan terbaiknya.

Tahniah bagi mereka yang mampu membaca dan berusaha faham dari awal sehingga di para terakhir ini. Semoga hidayah dan kebenaran milik kita bersama.

DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN ialah Prof Adjung Unisel dan juga Pengarah Urusan Elzar Shariah Solution.

Tiada ulasan: