"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

6 helikopter bernilai RM300 juta tidak diterima, kementerian buat laporan SPRM

Nur Hasliza Mohd Salleh
PUTRAJAYA: Kementerian Pertahanan hari ini membuat satu laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian helikopter tentera bernilai lebih RM300 juta semasa pentadbiran lepas yang sehingga kini belum dihantar kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sumber yang rapat dengan penyiasatan itu ketika ditemui di luar pintu masuk SPRM memberitahu, laporan tersebut dibuat disebabkan perjanjian rundingan yang dimeterai tidak mengikut prosedur sepatutnya.

Jelas sumber, pembelian menerusi rundingan terus itu mengandungi banyak terma kontrak yang merugikan kementerian sejak peringkat awal lagi.

“Kalau orang baca terma perjanjian, mereka akan tahu ia akan jadi macam ini.

“Antaranya kelulusan yang tidak mempunyai spesifikasi ketenteraan.

“Benda itu satu benda yang wajib dalam urusan ketenteraan,” kata sumber yang enggan dikenali.

Sebelum ini, FMT melaporkan sebanyak 6 buah helikopter tempur ringan MD530G yang dikeluarkan oleh MD Helicopters milik gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat (AS), McDonnel Douglas dipesan oleh Kementerian Pertahanan yang dipimpin oleh Hishammuddin Hussein ketika itu.

Helikopter berkenaan, yang lebih dikenali dengan panggilan “Little Birds”, dilaporkan menarik minat pegawai kementerian dalam satu demonstrasi sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima) 2015.

Bagaimanapun penyiasatan ke atas urus niaga itu mendedahkan maklumat mengejutkan mengenai pembelian tersebut, selain hakikat bahawa ATM tidak menerima helikopter berkenaan.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, syarikat di Malaysia yang menjadi ejen rundingan tersebut sudah pun ditamatkan kontrak sebagai ejen rasmi oleh McDonnel Douglas di AS.

“Dimaklumkan, syarikat itu kepunyaan bekas pegawai kanan kepada Hishamuddin ketika beliau menerajui kementerian,” katanya.

Sehingga kini, sumber itu memaklumkan, kerajaan sudah pun membuat bayaran sebanyak 35% harga pembelian helikopter tersebut bersamaan dengan RM112 juta.

Namun hingga saat ini, tiada helikopter tentera yang dihantar ke negara ini.

“Penghantaran sepatutnya mengikut 2 fasa. Pertama, pada Julai 2017 iaitu 2 buah, dan fasa ke-2 pada Disember 2018 untuk penghantaran baki 4 helikopter.

“Tapi sampai sekarang, sebuah pun tak ada,” katanya.

FMT cuba mendapatkan respons Hishammuddin.

Tiada ulasan: