"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Undangan khas Aidilfitri Sultan Ibrahim hanya buat Umno Johor

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan mencemar duli menerima kunjungan pemimpin Umno Johor bersempena sambutan hari raya Aidilfitri di Istana Pasir Pelangi, di Johor Bahru.

Sumber memberitahu Malaysiakini ini kali pertama Sultan Ibrahim mengundang jemputan hari raya hanya kepada rombongan Umno sahaja.

"Ini kali pertama (mendapat undangan berkunjung ke istana). Masa jadi kerajaan pun tak ada," kata sumber.

Satu lagi sumber berkata kunjungan bersempena sambutan lebaran itu berlangsung dalam suasana mesra kira-kira lebih satu jam setengah.

Antara yang dilihat bergambar dengan Sultan Ibrahim ialah Ketua Pembangkang DUN Johor Hasni Mohammed, bekas menteri Nur Jazlan Mohamed dan Razali Ibrahim serta bekas anggota parlimen Johor Bahru Shahrir Samad.

Pada hantaran di laman rasmi sultan, pejabat akhbar istana berkata kunjungan itu bersempena Aidilfitri bagi "mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama umat."

"Sempena sambutan Aidilfitri, Sultan Johor terus menerima kunjungan pelbagai pihak.

"Pada hari ini (8 Jun), Baginda Tuanku Sultan menerima salah satu kunjungan sempena Aidilfitri iaitu Badan Perhubungan Umno Johor.

"Sultan Johor bertitah, kunjungan pelbagai pihak sempena sambutan Aidlifitri mengeratkan lagi hubungan silaturahim," kata kenyataan itu.

Sumber PH pula memberitahu Malaysiakini tiada undangan ke majlis rumah terbuka Aidilfitri sedemikian kepada pihak mereka daripada istana buat masa ini.

Bagaimanapun, exco kerajaan Johor, termasuk Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal, hadir pada majlis rumah terbuka sambutan Hari Raya Aidilfitri rasmi Sultan Ibrahim di istana sama di Johor Bahru pada Khamis lalu.

Ini selepas Sultan Johor juga mencemar duli mengunjungi rumah terbuka menteri besar di Kediaaman Rasmi Saujana pada Rabu lalu.

Tiada ulasan: