"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Husam bukan lagi naib presiden parti Amanah - Khalid Samad

Amanah hari ini mengesahkan bahawa Husam Musa telah melepaskan jawatan sebagai naib presiden parti itu.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, dalam satu kenyataan berkata, perlepasan jawatan berkenaan telah diluluskan oleh mesyuarat bulanan jawatankuasa Amanah yang diadakan pada 6 September lalu.

“Permohonan perletakkan jawatan ini adalah untuk membolehkan beliau memberikan tumpuan kepada usaha memenangkan kerusi untuk Amanah di Kelantan, khasnya di kawasan parlimen Kota Bharu yang beliau ketuai,” kata Khalid.

Walua bagaimanapun, katanya, memandangkan kebolehan dan kemampuan Husam masih diperlukan di peringkat nasional, jawatankuasa nasional Amanah mengambil keputusan untuk memintanya berperanan memantau dan bertindak sebagai penasihat kepada tiga biro.

“Ini sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke15.

“Tiga biro ini adalah biro pilihan raya, biro komunikasi dan biro strategi. Kertas cadangan berhubung peranan barunya sedang disediakan untuk persetujuannya,” katanya.

Khalid juga memaklumkan bahawa apa jua gambaran bahawa Husam meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan presiden parti, Mohamad Sabu atau mana-mana pimpinan Amanah lain adalah sebagai tidak berasas.

Sebaliknya, menurutnya, ia dilakukan demi melonjak dan mengukuhkan lagi kedudukan Amanah di Kelantan, khususnya di Kota Bharu.

Awal hari ini, Husam turut menafikan pergeserannya dengan Mohamad.

Ini selepas sebuah portal berita menerbitkan satu artikel yang mendakwa peletakan jawatannya dalam parti itu dan sebagai pengerusi Pakatan Harapan Kelantan berpunca daripada pergeseran mereka.

"Itu tidak benar. Saya menafikan kandungan artikel itu," katanya kepada Malaysiakini melalui kiriman teks.

Tiada ulasan: