"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda Pas mahu parti bertanding di seluruh Parlimen di empat negeri

ARIF ATAN

Hati Pas yang terguris kerana langsung tidak diberikan sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dilihat belum reda lukanya.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari hari ini menyarankan untuk Pas meletakkan calon di kesemua kawasan Parlimen di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Cadangan itu susulan usul Pas bertanding sekurang-kurangnya 50 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diluluskan dalam muktamar sayap pemuda parti itu semalam.

“Alhamdulillah, usul minimum 50 kerusi Pas bertanding lulus di muktamar pemuda semalam.

“Saya cadangkan antara kerusi Parlimen itu ialah 14 kerusi daripada 14 Parlimen di Kelantan, 8 daripada 8 Parlimen di Terengganu, 15 daripada 15 Parlimen Kedah dan 3 daripada 3 Parlimen Perlis,” tegasnya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu dilihat secara sinis berkata, tidak salah untuk parti lain pula memberi laluan kepada Pas untuk bertanding di kesemua kawasan Parlimen.

“Selebihnya boleh cari di negeri-negeri lain. Apa salahnya parti lain pula berkorban. Sekadar cadangan, dan muktamar Pemuda semalam kelihatan menerima.

“Selebihnya terpulanglah pimpinan untuk berunding,” ujar Ahmad Fadhli lagi.

Semalam beliau dalam kemas kini di laman Facebooknya berkata: “Orang berbudi, kita berbahasa. Orang tidak berbudi, tak payahlah kita berbahasa.”

Beberapa pimpinan Pas serta wartawan veteran lidah rasmi parti itu, Harakah turut dilihat tidak berpuas hati dengan sikap Perikatan Nasional (PN) menafikan kerusi untuk Pas dalam PRN Sabah.

Tiada ulasan: