Minderjeet Kaur
PETALING JAYA: Penganalisis mengecam seorang pemimpin PAS kerana memperlekehkan “kempen bendera putih” yang dimulakan di media sosial baru-baru ini untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan ekoran usaha kerajaan membendung Covid-19.
Kata mereka, ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Nik Abduh Abdul Aziz, memperlihatkan sikap tidak peka dan kurangnya kemahiran kepemimpinan ketika beliau menyiratkan bahawa kempen berkenaan adalah untuk orang-orang lemah yang bersikap seperti pengalah.
Kempen berkenaan menyeru sesiapa yang memerlukan bantuan segera, terutamanya dari segi makanan, semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 untuk mengibarkan bendera putih di rumah.
Dalam catatan di Facebook semalam, Nik Abduh berkata: “Angkat tangan berdoa kepada-Nya. Itulah bendera kekuatan dan optimis dalam ujian kehidupan. Jangan angkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengajar rakyat mengangkat bendera putih.”
Pensyarah Universiti Malaya Awang Azman Pawi menyifatkan kenyataan Nik Abduh sebagai “pelik”, dengan berkata, beliau tidak faham mengapa PAS tidak menyokong kempen berkenaan dan mengapa Nik Abduh tidak dapat melihat perbezaan antara doa sebagai “isyarat dalaman” untuk meminta bantuan, dan kempen berkenaan sebagai “isyarat luaran”.
“Ia seruan untuk mendapatkan bantuan makanan,” katanya kepada FMT.
Bekas ahli akademik, Azmi Hassan, berkata para pemimpin PAS sepatutnya menunjukkan budi bicara ketika bercakap mengenai kempen yang bertujuan membantu orang dalam kesusahan.
Azmi dan Awang Azman mempersoalkan kualiti kepimpinan dalam PAS, terutama sekali dalam peranannya dalam kerajaan.
Kata Azmi, nampaknya seperti PAS tiada “pengetahuan asas” sekalipun untuk mentadbir negara.
Beliau berkata, ramai ragu-ragu dengan kemampuan parti tersebut ketika ia menyertai kerajaan, dan keraguan mereka telah dibuktikan benar.
“Pemimpin PAS telah membuktikan (tanggapan ini) dengan membuat terlalu banyak kesilapan. Keputusan mereka kadang-kadang cetek dan tidak mempunyai justifikasi,” katanya.
Dua hari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berkata, Dewan Rakyat hanya boleh bersidang setelah darurat berakhir pada 1 Ogos, walaupun Yang di-Pertuan Agong sebelum ini memperkenan Parlimen bersidang dalam tempoh darurat.
Kata Azmi, ini antara contoh kegagalan pemimpin PAS mengkaji sesuatu isu sebelum memberi komen.
Awang Azman berkata, PAS belum lagi menunjukkan mereka dapat mencari penyelesaian kepada masalah-masalah sosial yang kini muncul akibat rakyat kehilangan pendapatan.
Beliau memberi contoh semakin ramai orang meminjam dengan Ah Long, yang katanya, kini menjadi isu besar.
“PAS sepatutnya cari penyelesaian kepada masalah-masalah seperti itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan