Malaysiakini
Malaysia menduduki tempat tercorot dalam indeks oleh majalah The Economist dalam mengukur sejauh mana prestasi negara untuk kembali kepada keadaan normal selepas wabak Covid-19.
Indeks dan penjejak yang baru dilancarkan itu mengambil kira tiga kegiatan, iaitu perjalanan (penggunaan jalan raya, pengangkutan awam dan penerbangan), masa lapang (waktu yang tidak dihabiskan di rumah, hasil pendapatan pawagam dan kehadiran di acara sukan), dan kegiatan komersial (peruncitan dan pejabat) .
Daripada 50 negara dalam indeks tersebut, Malaysia mendapat skor terburuk - 27.3 mata - di belakang Taiwan yang mencatat 43.7 mata.
The Economist berkata skor Malaysia sebelum ini - iaitu pada April - adalah 55.
Negara Asia Tenggara dengan kedudukan tertinggi dalam indeks tersebut adalah Indonesia di tempat ke-40, diikuti oleh Thailand (41), Singapura (43), dan Filipina (44). Semua negara ini mempunyai skor antara 55.5 dan 58.3.
Skor 100 menunjukkan tahap kegiatan seperti sebelum menularnya wabak Covid-19.
Laporan The Economist menyatakan bahawa Malaysia "berdepan kesukaran akibat gelombang jangkitan berbahaya disebabkan oleh varian Delta yang menular dengan lebih pantas".
Menurut laporan itu lagi, dengan faktor-faktor yang dikesan secara tetap, peningkatan sisihan piawai (standard deviation) dalam jumlah kematian akibat Covid-19 mengurangkan skor sebanyak empat mata, manakala langkah mengetatkan kawalan pergerakan mengurangkan skor sebanyak lima mata.
"Indeks ini menjejak jumlah kematian rasmi dari bulan sebelumnya - yang dapat mencerminkan tahap jangkitan sejak 60 hari sebelumnya - secara lebih rapat berbanding bilangan kes semasa," katanya.
Menurut laporan itu lagi, walaupun vaksin meningkatkan pemulihan ke arah keadaan normal, ia hanya boleh dilakukan selepas satu tempoh masa yang cukup sehingga mengurangkan kadar kematian.
Ia menambah yang kehidupan akan kekal menjadi "tidak normal" di kebanyakan negara, dengan pandemik meletus sebelum bilangan penduduk yang mendapat vaksin dikira mencukupi.
50 buah negara dalam indeks tersebut merangkumi 76 peratus populasi dunia dan 90 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia.
Indeks itu akan dikemas kini setiap minggu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan