FAZLI RADZI
Orang ramai mengecam Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang mempersoal tindakan orang ramai mengibarkan bendera putih.
Meskipun gerakan awam itu bagi membantu rakyat yang terputus bekalan makanan tetapi Sanusi dilihat prejudis dengan menganggap sebagai propaganda politik hendak menunjukkan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Sehubungan itu, topik “MB Kedah” sohor di Twitter Malaysia dengan rata-ratanya menyeru agar rakyat di Kedah terus menaikkan bendera putih jika memerlukan bantuan makanan.
“Sanusi Raptor sembang lebihlah. Biaq p la orang nak bagi bantuan ikut bendera putih tu pun,” kata @iamkerolx.
Seorang pengguna Twitter, @laylamajusi pula menyeru rakyat Kedah agar kekal meneruskan kempen pacak bendera putih tanpa menghiraukan kenyataan wakil rakyat Pas berkenaan.
“Jangan peduli apa Sanusi tu kata. Ini bukan negeri ba*** dia. Dia jadi MB pun cara khianat,” kecamnya.
Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri hari ini dilapor berkata, ada pihak tertentu cemburu dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dapat mengatasi pandemik Covid-19 dengan baik.
Katanya, pihak terbabit meminta orang ramai yang memerlukan bantuan makanan menaikkan bendera putih selain mendakwa melihat ada Ahli Parlimen pembangkang yang pergi membantu orang lain menaikkan bendera putih.
“Itu bukan kerja wakil rakyat, itu kerja orang gila, jangan buat kerja bodoh,” katanya.
Susulan kenyataan Sanusi itu, carian “Sanusi MB Kedah” juga popular di Facebook. Bahkan, ruangan komentar media sosial rasmi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu juga dibanjiri kecaman orang ramai.
“Kibarkan bendera putih inisiatif rakyat kepada rakyat. Kerajaan tak payah komen banyak.
“Hangpa buat ja program sedia ada hangpa macam biasa tu bantu lagi cepat orang duk tengah susah,” kata Firdaus Zulkhafri.
Sementara itu, Abe Long pula berpendapat Sanusi ‘menggelupur’ dengan isu kibar bendera putih seperti panas tidak ketahuan punca.
“Apa pasai? Berlumba-lumbalah buat kebaikan untuk rakyat. Apa nak bermusuh pula Nusi (Sanusi) oii.
“Lain kali nak cakap PAStikan otak ada bersama di tempat yang sepatutnya. Jawatan Ketua Negeri tapi kepala otak masih lagi macam walaung-walaung nangoi. Lekeh la lu Nusi,” tempelaknya.
Memberi isyarat
Selain Sanusi, beberapa pemimpin Pas yang merupakan parti komponen PN diterajui Mahiaddin Md Yasin juga dilihat memperlekeh inisiatif rakyat menggerakkan kempen yang membolehkan mereka yang terputus bekalan makanan dibantu.
Kempen yang mulanya dicetuskan aktivis masyarakat, Nik Jah yang juga Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Kelantan itu juga bagi memberi isyarat kepada orang lain untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan segera.
Walau bagaimanapun, rata-rata pemimpin Pas dilihat seolah-olah “takut” dengan kempen bendera putih.
Reaksi mereka berbeza dengan pemimpin Umno dan Bersatu yang setakat ini dilihat belum lagi mengeluarkan kenyataan yang tidak menyenangkan terhadap kempen tersebut.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, rakyat tidak wajar diajar mengangkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengangkat bendera putih sebaliknya mereka perlu mengangkat tangan untuk berdoa kepada tuhan.
Nada sama juga dilontarkan Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar yang tidak bersetuju dengan langkah menaikkan bendera putih kerana menganggap masih ada cara yang lebih baik dan dapat menutup keaiban orang.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik mengaitkan aksi massa menaikkan bendera putih sebagai usaha menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Jika PN jatuh bukan bendera putih yang berkibar tapi bendera DAP yang akan naik,” dakwanya.
Bagi Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali pula, penduduk di kawasannya tidak perlu mengangkat bendera putih bagi meminta bantuan sebaliknya boleh menghubungi wakil-wakil di kawasan Dewan Undangan Negeri yang berkenaan.
“Rakyat saya di Kuala Nerus tidak perlu angkat bendera putih. Hubungi sahaja pasukan kerja saya. Cukuplah pasukan kami mengetahui kesusahan anda,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan