"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Awie diperintah bayar RM80,000 kepada bekas isteri

Farah Marshita Abdul Patah

farahmarshita@bh.com.my

Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, memerintahkan penyanyi rock, Awie membayar ganti rugi RM80,000 kepada Rozana Misbun atas kecederaan dialami bekas isterinya itu, tujuh tahun lalu.

Ia selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memerintahkan perayu membayar ganti rugi berkenaan kepada Rozana.

Terdahulu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Nor Bee Ariffin dalam keputusan sebulat suara berkata, mahkamah tidak berpuas hati dengan hujah bahawa Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf atau tersalah arah dalam membuat keputusan itu.

Katanya, jumlah bagi ganti rugi kecederaan dan ganti rugi teruk adalah adil dan munasabah dengan mengambil kira kecederaan dialami serta lokasi kejadian berlaku.

"Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam mencapai keputusannya untuk menegaskan semula keputusan Mahkamah Sesyen.

"Mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan ini dan rayuan perayu ditolak dengan kos RM15,000," katanya.

Turut bersidang pada prosiding itu, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk S Nantha Balan dan Datuk Ghazali Cha yang diadakan secara dalam talian, Zoom.

Pada September 2018, Mahkamah Sesyen memerintahkan Awie membayar RM30,000 dan RM50,000 kepada Rozana bagi ganti rugi kecederaan dan ganti rugi teruk.

Sebelum ini, Rozana selaku plaintif, memfailkan saman menuntut ganti rugi untuk kecederaan dialaminya termasuk keretakan dua tulang rusuk, lebam di muka dan beberapa bahagian lain.

Pada Mei 2016, Awie didenda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, selepas mengaku bersalah mendatangkan kecederaan terhadap Rozana di kaunter PNB Jalan Tun Razak.

Pada 4 Julai 2014, Awie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Rozana di rumah mereka di Ukay Perdana, Hulu Klang, di sini.

Bagaimanapun, pada 7 Mac 2016, Awie dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan itu selepas kedua-dua pihak bersetuju kes diselesaikan dengan cara Awie membayar kompaun RM10,000 dan memohon maaf di mahkamah terbuka.

Awie dan Rozana berkahwin pada 20 Jun 2005 dan dikurniakan tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rezzki, dan Puteri Qasseh Antasha.

Pasangan itu kemudian bercerai secara sah pada 1 November 2014.

Tiada ulasan: