"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Usaha kembalikan mandat rakyat Melaka melalui peti undi

ZIN MAHMUD

Pilihan raya negeri kali ini adalah suatu yang istimewa dan bersejarah dalam politik semasa negara. Ia tidak dijangka berlangsung kerana penggal belum berakhir, yang mana selalunya pilihan raya negeri diadakan serentak dengan PRU seluruh negara.

Sekiranya semua pihak menghormati mandat rakyat PRU14, maka Adly Zahari tentu masih kekal menjadi Ketua Menteri. Beliau dan pasukannya sepatutnya mentadbir Melaka sehingga tamat tempoh penggal pada tahun 2023.

Tetapi mandat rakyat telah dikhianati di peringkat persekutuan yang melarat ke negeri-negeri termasuk Melaka, maka kerajaan Pakatan Harapan hanya dapat mentadbir selama 22 bulan. Hak rakyat untuk mendapatkan pentadbiran Adly tercantas di separuh jalan.

Maka dalam PRN yang lebih awal diadakan sebelum penggal berakhir ini, rakyat Melaka berpeluang mengembalikan mandat rakyat 2018 kepada PH dan Adly.

PH menawarkan cara pentadbiran berbeza daripada BN, dan itulah apa yang Adly cuba laksanakan semasa menjadi Ketua Menteri. Asas pertama ialah kejujuran dan ia terlihat dengan langkah menghentikan pembaziran di Seri Bendahara yang dianggap perkara biasa bagi pentadbiran BN.

Apabila hanya sebuah gabungan parti mentadbir sesebuah negeri berturut-turut untuk jangka waktu lama, maka sudah tentu banyak amalan yang tidak betul berpanjangan dilakukan tanpa perubahan. Umno mentadbir Melaka sejak negara mencapai kemerdekaan. Hanya pada tahun 2018, negeri ini berpeluang mendapat pentadbiran berbeza.

Namun, selepas 22 bulan, Melaka kembali diteraju Umno. Tetapi peluang ini tidak diambil oleh mereka untuk membetulkan kesilapan-kesilapan dahulu yang menyebabkan mereka kalah pada tahun 2018. Sebaliknya, pentadbiran mereka lebih buruk lagi hinggakan Adun Umno sendiri menarik sokongan yang menyebabkan kerajaan negeri tumbang dan membawa kepada pembubaran Dun.

Perjuangan PH yang mula diberikan mandat oleh rakyat pada tahun 2018 di Melaka perlu dilanjutkan kerana kerja untuk membuahkan hasil bagi rakyat dan negara belum selesai. Rakyat wajar memberikan kemenangan pada PH bagi memetik hasilnya. Sebarang kemenangan pada BN adalah langkah ke belakang sedang cara mereka mentadbir telah diketahui kepincangannya.

BN mengimpikan Melaka akan kembali padanya sedangkan mereka tidak melakukan sebarang perubahan di dalam diri sendiri terhadap persoalan mengapa rakyat negeri itu menolak mereka semasa PRU tahun 2018.

Keadaan politik kini bagaimanapun sudah berubah. PH tidaklah mempunyai kekuatan seperti mana ia hadapi dalam PRU ke-14. Bersatu tidak lagi berada dalam PH. Sebahagian bekas ahli PKR pula berada dalam Bersatu.

Namun, pihak-pihak yang menentang PH tidaklah bersatu. BN dan Perikatan Nasional bersaing di antara satu sama lain. Ada sebahagian bekas Adun Umno kali ini pula bersama PH ekoran pergolakan politik yang membawa kepada PRN ini. Sementara bekas ahli Bersatu yang berada dalam Pejuang dan Muda, walaupun tidak menyokong PH tetapi tidak bersama PN.

Walau apapun pergolakan politik di peringkat persekutuan dan negeri, rakyat Melaka mempunyai kepentingan sendiri dan masalah-masalah yang perlu dihadapi untuk diselesaikan segera.

Pandemik Covid-19 dan kesan ekonominya memberi pukulan teruk pada rakyat Melaka, lebih-lebih lagi negeri itu bergantung besar pada sektor pelancongan.

Rekod menunjukkan kerajaan persekutuan dan negeri PN-BN dan BN-PN tidak memberikan pentadbiran yang baik. Mereka bersungguh-sungguh mengambil alih pentadbiran PH tanpa melalui proses pilihan raya tetapi tidak pula menggunakan kuasa itu dengan sebaiknya.

Tidak ada sebab bagi rakyat untuk memberi kuasa pada PN atau BN.

Kini PH miliki pengalaman yang lebih berbanding semasa menjadi pembangkang pada tahun-tahun sebelum 2018. Negeri Melaka perlu pandang ke depan tetapi pengalaman lalu amat luas. Menjadi kerajaan negeri selama 22 bulan tentu menambah pengalaman pentadbiran, lebih-lebih lagi dalam suasana politik penuh mencabar dengan banyak kalangan BN dan PN masih mengimpikan keadaan politik lama, yang sebenarnya kini sudah tidak wujud.

Namun apa yang diperlukan rakyat negeri Melaka dan Malaysia bukan semata-mata kesenangan dari segi keperluan hidup, walaupun perkara itu amat penting. Tetapi sama penting adalah nilai-nilai baik bagi sebuah masyarakat untuk mencapai kebahagiaan dan kecemerlangan. Ia termasuklah keadilan, kebersihan dan demokrasi itu sendiri, Untuk itu Reformasi di peringkat negeri dan persekutuan adalah suatu yang asas. Usaha untuk mengukuhkan institusi-institusi demokrasi perlu berterusan.

Tetapi rakyat mestilah menghendaki nilai-nilai mulia ini. Ahli-ahli politik adalah cerminan pada masyarakat. Sementara itu, ahli-ahli politik juga adalah pemimpin yang memberikan teladan. Sebarang perubahan kepada keadaan yang lebih baik mesti ada titik permulaan dan aktivis untuk melaksanakannya. Kalau tidak, lupakanlah saja semua harapan itu, dan teruskanlah hidup bergelumang dengan korupsi dan penindasan, serta menanti kehancuran pada negeri.

Setiap orang secara individu mempunyai kecenderungan tertentu. Tidak semua yang minat atau faham politik. Manusia itu beragam, bukan seragam. Tetapi setiap manusia berkongsi nilai, apa yang baik dan apa yang buruk adalah jelas.

Penyelewengan adalah jelas merupakan sesuatu yang buruk. Begitu juga dengan pembaziran. Atau pengabaian keperluan rakyat adalah juga sesuatu yang jelas buruk.

Dengan keragaman ini bagaimanapun, setiap warganegara mempunyai satu hak mengundi, dan secara berkumpulan akan menentukan pemerintahan dan pentadbiran negara, selaras dengan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan.

Adly pada satu masa dulu adalah sebahagian daripada satu generasi muda tahun 1980-an yang menyertai gelombang kebangkitan Islam yang memiliki azam untuk memperbaiki masyarakat dan negara. Beliau menjadi aktivis pembangkang bagi menentang Umno. Pada tahun 1980-an, harapan untuk diterima pengundi amat jauh. Bagi mereka yang memikirkan kemenangan semata-mata serta mengejar jawatan, pasti tidak menyertai pembangkang.

Setelah berpuluh tahun berjuang dengan menyaksikan juga penjajaran politik berbeza akhirnya pihak yang selama ini menjadi pembangkang berjaya menerajui kerajaan pada tahun 2018. Walaupun sebelum itu tidak termimpi bagi Adly menjadi Ketua Menteri, tetapi keadaan politik negeri melonjakkan beliau untuk jawatan itu.

Sungguhpun 22 bulan kemudian keajaan PH ditumbangkan secara pelanggaran mandat rakyat, tetapi apabila Dun bubar Adly tetap dilonjakkan sebagai calon Ketua Menteri. Ini bermakna kepimpinan beliau selama 22 bulan itu dapat diterima dan mahu diteruskan.

Maka jika rakyat mahukan Adly menjadi Ketua Menteri, para pengundi perlu menyokong calon PH di seberapa banyak kawasan Dun yang boleh. Namun begitu, keputusan PRN mungkin menghasilkan corak berbeza dan siapa yang bakal menjadi Ketua Menteri bergantung pada penjajaran politik ketika itu. Pengundi hanya menaikkan calon di kawasan mereka dan tidak dapat kepastian siapakah akhirnya yang akan menjadi Ketua Menteri.

Tetapi politik adalah seperti satu percaturan yang langkah-langkah taktikal dan strategik menjadi perhatian banyak orang. Tumpuan perhatian adalah pada jawatan dan kuasa.

Namun hakikatnya, ada sesuatu di atas kerja tungkus lumus barisan garis hadapan para sukarelawan dan aktivis dalam pilihan raya yang merupakan kemuncak acara demokrasi berparlimen. Ia adalah harapan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik ahli-ahli politiknya bagi melaksanakan keadilan dalam pembahagian sumber dan memimpin negeri kepada tahap terbaik.

Tiada ulasan: