"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Banjir balak’ Pahang: Siasatan diraja kenal pasti punca sebenar

MUHAMMAD RAFIQUE

Bencana banjir besar yang berlaku di Pahang baru-baru ini terutamanya di kawasan Karak dan Mentakab, adalah sesuatu yang mengejutkan.

Ia ibarat suatu tsunami yang rakus membadai dan mengingatkan rakyat kepada peristiwa banjir besar Kuala Krai 2014.

Banyak kemusnahan yang berlanjutan dari banjir tersebut jelas dapat dilihat daripada gambar dan video yang dikongsikan orang ramai di media sosial. Ini termasuklah sisa-sisa dan timbunan-timbunan kayu yang berselerakan di atas jalan raya dan juga jambatan terutama di Karak.

Sisa-sisa dan timbunan-timbunan kayu ini ini telah menimbulkan persoalan di benak sekalian rakyat jelata, sama ada banjir besar yang melanda ini adalah sebenarnya diakibatkan oleh aktiviti pembalakan dan penarahan hutan secara besar-besaran atau ia benar-benar suatu bencana alam.

Semalam, Jabatan Perhutanan Pahang telah mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa tiada pembalakan secara sah atau haram di Hutan Simpan Lentang, tanah kerajaan serta tanah milik berhampiran Jalan Bentong Karak dan Jambatan Sri Telemong di Bentong.

Jabatan Perhutanan Pahang memaklumkan bahawa semakan di kedua-dua tempat mendapati sisa kayu yang berselerak di atas jalan dan jambatan itu yang dikaitkan dengan pembalakan, ialah sisa sampah sarap daripada kejadian kepala air di Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul yang berlaku pada 18 Disember lalu. Ini menimbulkan persoalan: dari manakah punca sisa sampah sarap tersebut?

Di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong atau sesuatu Kerajaan Negeri itu mempunyai kuasa antara lainnya, untuk mengadakan suatu Siasatan Diraja demi kebajikan awam (‘be for the public welfare’).

Saya melihat bahawa wujudnya satu keperluan agar suatu Siasatan Diraja dapat ditubuhkan bagi menyiasat adakah benar dakwaan bahawa banjir besar tersebut akibat daripada aktiviti pembalakan dan penarahan hutan.

Siasatan ini adalah penting untuk mengenalpasti apakah punca sebenar banjir besar tersebut: bagaimana ia berlaku, adakah ianya disebabkan tangan-tangan manusia yang rakus atau adakah ianya benar-benar bencana alam semulajadi yang tidak dapat dielakkan.

Ini adalah demi menjaga keselamatan nyawa rakyat dan harta benda mereka agar perkara yang sama tidak berlaku lagi di masa hadapan.

*MUHAMMAD RAFIQUE merupakan Timbalan Ketua PEJUANG Wilayah Persekutuan juga Peguambela & Peguamcara.

Tiada ulasan: